Agmo perkenal aplikasi EV Dashboard untuk pengendali titik pengecasan | DagangNews Skip to main content

Agmo perkenal aplikasi EV Dashboard untuk pengendali titik pengecasan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 2 Feb – Agmo Holdings Berhad melancarkan aplikasi  Electric Vehicle (EV) Dashboard baharunya untuk pengendali titik pengecasan (CPO) yang dilengkapi dengan rangkaian kecerdasan berkaitan stesen pengecas kenderaan elektrik.

 

Aplikasi itu adalah yang pertama di Malaysia dan merupakan alat yang membantu CPO merancang pemasangan stesen pengecasan seterusnya dengan menggunakan pendekatan saintifik yang disokong oleh data.

 

Teknologi EV Dashboard juga memanfaatkan kedua-dua teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya (Big Data Analysis). 

 

Pelancaran teknologi terkini itu secara khusus mengutarakan penyelesaian daya maju komersial berkaitan dengan kenderaan elektrik dan penting bagi strategi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) Agmo yang berterusan dalam mempercepatkan peralihan negara ke arah mobiliti elektrik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong berkata, menjadi misi kumpulan itu  untuk menyediakan penyelesaian ESG berkuasa digital yang membantu pelanggan berjaya dalam operasi perniagaan dengan cara yang mampan.

 

 

Agmo EV

 

 

“Berbekalkan set data berkaitan, aplikasi Agmo baharu ini ialah alat yang berkesan untuk memberikan maklumat kepada CPO supaya keputusan termaklum boleh dibuat untuk pemasangan stesen pengecas, bilangan yang diperlukan dan lokasi strategik untuk ditempatkan.

 

“Ini akan membantu CPO mengoptimumkan pulangan pelaburan (ROI) mereka dan memastikan keuntungan untuk pelaburan yang merupakan aspek penting dalam memastikan daya tahan jangka panjang untuk kedua-dua CPO dan pengguna kenderaan elektrik,” kata Aik Keong dalam kenyataan media hari ini.

 

Sehingga kini, Agmo telah membangunkan platform aplikasi untuk mencari stesen terdekat dan sistem bahagian belakang untuk stesen pengecas kenderaan elektrik untuk pelanggannya. 

 

Aik Keong berkata kumpulan itu mempunyai set kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk meluaskan inisiatif kenderaan elektrik sedia ada mereka.

 

“Perancangan yang cekap dan pemasangan stesen pengecasan di lokasi optimum oleh CPO akan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik yang lebih luas sambil menangani isu 'kebimbangan jarak jauh' di mana pemandu bimbang akan terkandas di tepi jalan kerana kekurangan infrastruktur pengecasan laju,” tambahnya.

 

Kumpulan itu terus menyokong keterlibatan perniagaan dan sosial serta melaksanakan peranan penting dalam menyokong industri yang boleh menjana kemajuan ekonomi dan perubahan alam sekitar.

 

Penciptaan teknologi ini selaras dengan rancangan kerajaan untuk memasang sehingga 10,000 stesen pengecas awam untuk EV di Malaysia menjelang 2025 di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030. – DagangNews.com