Agong zahir impian memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo | DagangNews Skip to main content

Agong zahir impian memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo

Gambar Facebook Pan Borneo Highway Sarawak

KUALA LUMPUR 13 Feb - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

 

Seri Paduka melahirkan rasa sukacita prestasi dengan pelaksanaan projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang dimulakan pada 2015 serta dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

 

"Adalah menjadi impian Beta untuk memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ini, khusus untuk Beta mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat Beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.

 

"Program kembara ini sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak," titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Selain memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam melalui kemampanan sektor pembinaan, Al-Sultan Abdullah bertitah usaha membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak perlu dipergiat.

 

Al-Sultan Abdullah bertitah pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan perhatian bagi memperkasa pentadbiran undang-undang.

 

"Infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik. 

 

 

agong
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen pada 13 Februari 2023. Turut berangkat, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar. - Gambar BERNAMA

 

 

"Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik termasuk Orang Asli akan terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing," titah Seri Paduka.

 

Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah kerajaan telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

 

Ini termasuk pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknik serta menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com