Affin Hwang Investment Bank sasar terbit 96 waran berstruktur pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Affin Hwang Investment Bank sasar terbit 96 waran berstruktur pada 2023

KUALA LUMPUR 25 Jan - Affin Hwang Investment Bank Berhad (AHIB) akan menumpukan sektor penerbangan dan pelancongan dalam terbitan waran berstrukturnya pada tahun ini yang seiring dengan langkah China membuka semula sempadan negara itu.

 

Pengarah Bersekutu Ekuiti Derivatif AHIB, Lim Chin Anh berkata, bank pelaburan itu menyasarkan 96 terbitan waran berstruktur pada tahun ini dengan purata lapan terbitan bagi setiap bulan.

 

“Kami akan meneliti aliran di pasaran, namun setakat ini sektor seperti penerbangan dan pelancongan semakin meningkat ketara susulan tindakan China melonggarkan dasarnya,” katanya pada sidang media bersempena majlis penyenaraian Waran Berstruktur Pertama AHIB, hari ini lapor Bernama.

 

Mengulas selanjutnya, Chin Anh berkata, AHIB akan turut memantau perkembangan ekonomi global serta aliran kadar faedah yang boleh mempengaruhi bank dan sektor kewangan berikutan terdapatnya permintaan daripada pelabur.

 

“Kami mengunjurkan bahawa pasaran meningkat secara ketara dan dalam kaunter tertentu. Oleh itu, mudah bagi kami untuk meningkatkan atau memperluas terbitan tetapi setakat ini memadai dengan lapan terbitan setiap bulan. Kami sendiri berharap dapat menambah lagi jumlah terbitan itu,” katanya.

 

Penerbitan empat siri waran berstruktur pertama AHIB itu adalah bagi memenuhi keperluan pelabur yang pelbagai serta sofistikated di dalam negara.

 

AHIB hari ini menyenaraikan tiga waran opsyen beli dan satu waran opsyen jual terdiri daripada Dagang Nexchange Berhad (waran opsyen beli), Hengyuan Refining Co Berhad (waran opsyen jual), MyEG Services Berhad (waran opsyen beli/jual).

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dalam ucapannya berkata, dagangan waran berstruktur itu melibatkan lebih 24,000 pelabur runcit serta dengan nilai RM13.83 bilion.

 

“Terdapat lebih daripada 1,447 penyenaraian waran berstruktur baharu pada 2022 yang hampir mencecah paras tertinggi sebanyak 1,452 senaraian pada 2021,” katanya.

 

Bursa tempatan itu sebelum ini telah bertindak melakukan pindaan peruntukan tertentu berkaitan waran berstruktur dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (berkuat kuasa mulai 19 Januari 2023).

 

Pindaan utama itu termasuk menyemak semula keperluan permodalan pasaran bagi waran berstruktur untuk saham pendasar, meneliti semula purata permodalan pasaran harian bagi tiga bulan sebelum tarikh terbitan kepada RM500 juta berbanding RM1 bilion sebelum ini. - DagangNews.com