AirAsia perkukuh komitmen dengan Indonesia menerusi 4 laluan baharu | DagangNews Skip to main content

AirAsia perkukuh komitmen dengan Indonesia menerusi 4 laluan baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - AirAsia Malaysia (AK) terus memperkukuh komitmennya terhadap Indonesia dengan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan ke Banda Aceh, Padang dan Pekanbaru dari Kuala Lumpur bermula 1 Oktober 2022, serta melancarkan perkhidmatan baharu ke Bali (Denpasar) dari Pulau Pinang bermula 20 Oktober tahun ini.

 

Penyambungan semula laluan itu adalah bukti kukuh komitmen AirAsia kepada kerajaan tempatan wilayah Aceh, Sumatera Barat dan Riau, untuk membuka perkhidmatan antarabangsa dari lapangan terbang wilayah utama mereka. 

 

Perkhidmatan itu juga adalah berikutan permintaan kukuh oleh masyarakat tempatan dari kedua-dua negara yang berkongsi persamaan budaya dan hubungan kekeluargaan serta akan meningkatkan pelancongan dan ekonomi kreatif di wilayah tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, Indonesia ialah pasaran utama AirAsia dan pihaknya berbesar hati untuk kembali terbang ke negara itu dengan melancarkan empat laluan baharu.

 

Beliau berkata, ia juga termasuk dengan tambahan lapan penerbangan mingguan, selain daripada enam laluan sedia dengan jumlah 66 penerbangan setiap minggu ke lapangan terbang Indonesia pada bulan ini. 

 

"Kami amat berterima kasih atas sokongan padu daripada Kerajaan Republik Indonesia dan kerajaan wilayah Aceh, Sumatera Barat dan Riau atas sokongan mereka dalam pembukaan semula laluan ini dan banyak lagi. 

 

“Sebagai kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai rangkaian luas di ASEAN dan Asia Pasifik, bersama syarikat penerbangan AirAsia Indonesia, kami akan terus memainkan peranan dalam membawa pelancong terus ke pelbagai bandar popular dan bandar kedua di Indonesia dan Malaysia. 

 

 

airasia
Datuk Abdul Aziz Abu Bakar (kiri) menyerahkan model pesawat AirAsia kepada Pembantu Hal Ehwal Am Gabenor, Dr Iskandar AP di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh pada 3 Oktober 2022.

 

 

airasia

 

 

“Kami teruja untuk menyambung semula bandar-bandar ini ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, membawa pelancong dari Malaysia, menghubungkan semula keluarga, dan para usahawan. Kami yakin perkhidmatan baharu ini akan memberi impak positif kepada masyarakat tempatan melalui perbelanjaan pelancongan dan meningkatkan peluang pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, sempena meraikan penyambungan semula perkhidmatannya ke Indonesia, AirAsia semalam mengalu-alukan penerbangan AK421 dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh bersama-sama delegasi yang diketuai Pengarah Bukan Eksekutif Capital A, Datuk Abdul Aziz Bakar. Penerbangan tersebut disambut wakil kerajaan tempatan, dengan persembahan tradisional yang menarik.

 

 

airasia

 

 

Penerbangan Kuala Lumpur-Banda Aceh, Kuala Lumpur-Padang, Kuala Lumpur-Pekanbaru dan Pulau Pinang-Bali kini tersedia untuk tempahan bermula dari RM189 untuk tambang termasuk semua sehala di airasia Super App, ejen pelancongan konvensional dan dalam talian (OTA). 

 

AirAsia Malaysia kini menerbangkan sebanyak 10 laluan ke Indonesia. Dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Bali, Medan, Makassar, Yogyakarta, Padang, Pekanbaru dan Banda Aceh, serta dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Bali dengan rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan ke destinasi sedia ada dan baharu selaras dengan permintaan kukuh pada masa hadapan.

 

Jadual penerbangan AirAsia Malaysia dari Kuala Lumpur ke Padang, Banda Aceh, Pekanbaru dan dari Pulau Pinang ke Denpasar;

 

 

airasia

 

 

Para tetamu dinasihati untuk memastikan mereka memenuhi keperluan perjalanan terkini yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. - DagangNews.com