Akhbar komuniti Ipoh Echo isi slot dokumentasi HAWANA 2023 | DagangNews Skip to main content

Akhbar komuniti Ipoh Echo isi slot dokumentasi HAWANA 2023

Rosli Mansor menunjukkan edisi awal akhbar Ipoh Echo yang diterbitkan.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 16 Mac -  Perjalanan akhbar komuniti tempatan, Ipoh Echo didokumentasikan apabila bakal mengisi slot teaser untuk paparan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

 

Sambutan HAWANA pada tahun ini akan berlangsung dari 27 Mei hingga 29 Mei di Ipoh.

hawana 2023

Rakaman sesi temubual bagi dokumentasi tersebut telah diadakan oleh kru Bernama Radio di pejabat Ipoh Echo yang terletak di Jalan Lasam di sini.

 

Mula diterbitkan pada tahun 2006, akhbar komuniti ini mencetak nama apabila kandungannya diterima oleh masyarakat pembaca di Ipoh dan mencipta pengaruh.

 

Akhbar ini diasaskan bersama oleh ahli perniagaan, mendiang Datuk K.K Lim; Allahyarham Lt Kol (B) Fathol Zaman Bukhari dan G.Sivapragasam.

 

Matlamatnya adalah ingin membantu meningkatkan ekonomi semua komuniti khususnya di bandaraya ini.

 

Kini, setelah 17 tahun Ipoh Echo beralih pada platform digital menerusi laman web, Facebook dan Instagram.


 

ipoh echo
Rosli Mansor semasa ditemubual Bernama Radio untuk rakaman bagi HAWANA 2023 di Ipoh.

 


Ketua Pengarang Ipoh Echo, Rosli Mansor Ahmad Razali berkata, akhbar itu masih mengekalkan konsep pemberitaan yang sama walaupun menggunakan platform berbeza.

 

Katanya, peralihan pada platform tersebut adalah seiring dengan trend masa kini dengan angka pembaca mencecah sejuta.

 

"Kami berbangga apabila pencapaian Ipoh Echo sebagai media komuniti yang bermula kecil akan dicatat pada sambutan HAWANA 2023.

 

"Sebagai media tempatan, kami juga teruja apabila Ipoh yang dikenali sebagai bandar hipster dipilih menjadi lokasi sambutan acara yang sangat bermakna bagi komuniti media," ujarnya.


 

hawana 2023

 


Penganjuran HAWANA 2023 akan dihoskan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

 

Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. - DagangNews.com