Alliance Bank sumbang barangan keperluan kepada 1,700 keluarga kurang berkemampuan | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank sumbang barangan keperluan kepada 1,700 keluarga kurang berkemampuan

Pasukan dari Alliance Bank, Women Of Will dan Libresse bersama peserta dari PPR Taman Wahyu, Kuala Lumpur.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Alliance Bank Malaysia Bhd menghulurkan sokongan kepada wanita yang kurang mendapat peluang dengan membantu mereka menjana pendapatan tambahan serta memperkasakan mereka dengan pengetahuan kesihatan wanita.

 

Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2023, Alliance Bank bekerjasama dengan Pertubuhan Women of Will (WOW) dan Libresse bagi menganjurkan inisiatif selama tiga hari di lima buah kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang. 

 

Program ini menampilkan ceramah kesihatan wanita yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan reproduktif wanita, yang mana berjaya menjangkau seramai 350 wanita. 

 

Setiap peserta program menerima sumbangan barangan runcit dan makanan bernilai RM150 dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih 1,700 ahli keluarga. 

 

Alliance Bank juga membeli biskut daripada Dapur Komuniti WOW untuk diedarkan dalam pek sumbangan dan hasil pembelian biskut ini dapat membantu meringankan beban kewangan penerima bantuan WOW yang terdiri daripada ibu tunggal kurang berkemampuan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, pihaknya mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang mana mereka beroperasi untuk lebih memahami dan memenuhi keperluan mereka. 

 

"Memenuhi misi Alliance Bank, 'Membina Ikatan bagi Mempertingkatkan Kehidupan, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan WOW dan Libresse, yang memiliki objektif sama untuk memperkasakan wanita yang merupakan tulang belakang keluarga dan menambah baik taraf hidup masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

alliance
Rizal lL-Ehzan Fadil Azim (kanan) dan Datin Goh Suet Lan (kiri) menyampaikan pek sumbangan kepada salah seorang peserta dari Flat PKNS AU2 Taman Keramat.

 

 

Pengasas dan Presiden Women Of Will, Datin Goh Suet Lan berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan Alliance Bank untuk memberi peluang membangunkan perniagaan mampan kepada wanita kurang mendapat perhatian yang bekerja dengan WOW untuk membantu mereka menjana pendapatan tambahan dan berdikari daripada segi kewangan.

 

Pengurus Pemasaran bagi Penjagaan Wanita Vinda Malaysia, Cheryl Wang berkata, kajian pengguna yang dilaksanakan oleh Libresse menunjukkan bahawa dua daripada tiga orang wanita sukar untuk bertanya atau berbincang secara terbuka tentang topik yang berkaitan dengan kesihatan reproduktif. 

 

“Kami gembira kerana kerjasama dengan Alliance Bank membolehkan kami untuk terus melibatkan diri dengan masyarakat tempatan bagi meningkatkan kesedaran, membiasakan perbualan dan merapatkan jurang pengetahuan tentang kesihatan reproduktif wanita," katanya. - DagangNews.com