AME Elite diberi kepercayaan bina kilang pembuatan baharu Bucher Emhart Glass bernilai RM108 juta | DagangNews Skip to main content

AME Elite diberi kepercayaan bina kilang pembuatan baharu Bucher Emhart Glass bernilai RM108 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Penyedia penyelesaian ruang industri bersepadu, AME Elite Consortium Berhad menerusi anak syarikatnya, Ipark Development Sdn. Bhd. berjaya meraih kepercayaan daripada Emhart Glass Sdn. Bhd. (Bucher Emhart Glass) untuk membina kilang pembuatan baharu bernilai RM108 juta di i-Park@Senai Airport City, Johor.

 

Anak syarikat kumpulan kejuruteraan dan pembuatan yang tersenarai di Switzerland Bucher Industries AG, Bucher Emhart Glass ditubuhkan sebagai pembekal penyelesaian pembuatan bekas kaca terkemuka di dunia termasuk peralatan, kawalan, bahagian dan sokongan.

 

Kumpulan itu mempunyai kehadiran di seluruh dunia, termasuk Switzerland, Sweden, Itali, Jerman, Singapura, Malaysia, Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS).

 

Pengarah Urusan Kumpulan AME, Kelvin Lee Chai berkata, pihaknya berbangga kerana taman industri dan hartanah bersepadu AME di i-Park@Senai Airport City berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) termasuk daripada syarikat global.

 

Beliau mengalu-alukan kedatangan Bucher Emhart Glass ke i-Park@Senai Airport City bagi mengembangkan operasi di Malaysia.

 

"Kami berbangga kerana dipilih sebagai penyedia penyelesaian Bucher Emhart Glass dan ia membuktikan kepakaran AME untuk menyokong keperluan pertumbuhan perniagaan global.

 

"AME meneruskan peranannya sebagai magnet FDI dan akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk taman perindustrian kami apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

 

"Dengan kontrak terbaharu daripada Bucher Emhart Glass ini, jualan baharu kami untuk tahun kewangan setakat ini meningkat kepada RM433 juta dan akan meningkatkan prestasi kewangan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kemudahan baharu di i-Park@Senai Airport City akan mempunyai keluasan binaan kira-kira 300,000 kaki persegi yang akan menggantikan kilang sedia ada di tapak lain di Johor Bahru untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

 

Pembinaan projek itu akan dimulakan pada suku kedua 2023 dan dijadualkan siap pada 2024. - DagangNews.com