KUALA LUMPUR 21 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor automotif dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih tinggi sebanyak 700,000 unit berbanding jangkaan 665,000 unit untuk menutup 2022.
Malah, unjuran itu juga lebih tinggi berbanding sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 630,000 unit.
Semakan unjuran firma itu bagi 2022 berdasarkan pertumbuhan jualan berterusan yang dilihat dalam kebanyakan jenama kecuali Proton (penurunan 12% dari bulan ke bulan) dan Nissan (penurunan 19% dari bulan ke bulan).
"Kami menjangkakan momentum yang kukuh akan dibawa ke 2023 dengan tempahan industri yang besar selain pelancaran baharu," katanya dalam nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, TIV MAA pada November 2022 meningkat kepada 64,404 unit atau peningkatan 6% dari bulan ke bulan.
Katanya, jumlah jualan kenderaan penumpang meningkat 6% kepada 57,545 unit pada November 2022 manakala kenderaan komersial mencatatkan pertumbuhan yang sama kepada 6,859 unit. Sementara itu, jumlah jualan terkumpul melonjak 45% kepada 642,306 unit.
"Kami berpendapat bahawa TIV setahun penuh berkemungkinan mengatasi 700,000 unit (+57,694 unit).
"Perodua terus menguasai pasaran sehingga kini iaitu 39% selepas jualan terkumpul melonjak 50% kepada 250,795 unit manakala 28,592 unit telah dijual pada November 2022.
"Walaupun Axia, Myvi dan Bezza adalah antara model terlaris pada 2022, kami menjangkakan beberapa model baharu akan diperkenalkan pada 2023," katanya.
Firma itu berkata, pilihan utama mereka untuk sektor itu ialah Bermaz Auto (nilai wajar RM2.25) dan MBM Resources (nilai wajar RM5).
"Syarikat-syarikat tersebut mempunyai trajektori pendapatan yang kukuh disokong oleh keterlihatan tempahan yang kukuh selama 7 hingga 8 bulan," katanya. - DagangNews.com