Arab Saudi terbuka untuk berdagang dalam mata wang lain selain dolar AS | DagangNews Skip to main content

Arab Saudi terbuka untuk berdagang dalam mata wang lain selain dolar AS

Bandar raya Riyadh, Arab Saudi

RIYADH 19 Jan - Arab Saudi terbuka kepada perbincangan mengenai perdagangan mata wang selain dolar Amerika Syarikat (AS), menurut menteri kewangannya, Mohammed Al-Jadaan.

 

Al-Jadaan berkata, tiada isu berhubung perbincangan bagi menyelesaikan pengaturan perdagangannya, sama ada dalam dolar AS, euro, atau riyal Saudi.

 

"Saya tidak fikir kami menolak sebarang perbincangan yang akan membantu meningkatkan perdagangan di seluruh dunia," katanya kepada Bloomberg TV dalam temubual di Davos, Switzerland semalam.

 

Pengeksport minyak terbesar dunia itu, telah mengekalkan tambatan mata wang kepada dolar selama beberapa dekad, sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungannya dengan rakan perdagangan penting termasuk China. 

 

Kerajaan itu adalah tonggak sistem petrodollar yang ditubuhkan pada 1970-an yang bergantung pada penetapan harga eksport minyak mentah dalam mata wang AS.

 

Semasa lawatan Presiden, Xi Jinping ke Riyadh tahun lepas, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan penyelarasan mengenai dasar tenaga dan penerokaan.

 

Semasa perjalanan itu, Xi berkata bahawa China akan berusaha untuk membeli lebih banyak minyak dari Timur Tengah dan juga mahu menyelesaikan perdagangan itu dalam yuan.

 

 

arab
                                   Mohammed Al-Jadaan

 

 

Al-Jaddan berkata, mereka menikmati hubungan yang sangat strategik dengan China dan negara lain termasuk AS dan mahu membangunkannya dengan Eropah yang sanggup dan mampu bekerjasama.

 

Katanya, Arab Saudi juga bekerjasama dengan institusi pelbagai hala untuk memberikan sokongan kepada Pakistan, Turki dan Mesir, sebagai sebahagian daripada sumbangan kerajaan kepada negara yang dianggap "terdedah".

 

"Kami melabur banyak di negara-negara ini dan akan terus mencari peluang untuk melabur. Ia sangat penting untuk membawa kestabilan," katanya, menurut Bloomberg.

 

Beliau berkata, negaranya sedang mencari untuk melabur AS$10 bilion di Pakistan, selain melanjutkan tempoh deposit AS$3 bilion untuk meningkatkan rizab mata wang asingnya lewat tahun lalu, dan Arab Saudi kini sedang meneroka kemungkinan meningkatkan jumlah itu.

 

"Kami menyediakan malah minyak dan derivatif untuk menyokong keperluan tenaga mereka. Jadi terdapat banyak usaha, tetapi kami mahu ini dijalankan," katanya.

 

Kerajaan itu juga sedang berbincang dengan Bank Dunia dan institusi lain bagaimana ia boleh "lebih kreatif untuk memberikan sokongan itu" kepada Pakistan, kata menteri itu.

 

Katanya, Arab Saudi juga memberikan banyak sokongan kepada Mesir dan bukan secara langsung melalui geran serta deposit, tetapi juga melalui pelaburan. - DagangNews.com