Aurelius Technologies mampu catat prestasi lebih baik pada FY24 - Mercury Securities | DagangNews Skip to main content

Aurelius Technologies mampu catat prestasi lebih baik pada FY24 - Mercury Securities

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - Mercury Securities Sdn. Bhd. menjangkakan Aurelius Technologies Bhd. akan merekodkan hasil yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 (FY24). 

 

Prestasi lebih baik itu akan dipacu pelanggan baharu dan sedia ada, hasil daripada peningkatan operasi kilangnya pada masa akan datang.

 

"Ini disokong dengan peningkatan operasi di Loji 3, membolehkan kumpulan meningkatkan keseluruhan volum pengeluaran dan hasil daripada semua segmen perniagaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Mac 2022, Aurelius memulakan pengeluaran untuk Pelanggan F yang baru diambil alih, terlibat dalam perniagaan litar bersepadu berbilang komponen (MCIC).

 

Sehingga Disember 2022, enam talian teknologi pemasangan permukaan (SMT) automatik sepenuhnya telah ditauliahkan untuk pelanggan tersebut di Loji 2 sedia adanya.

 

Menurut Mercury Securities, kumpulan telah menempah tujuh barisan pengeluaran lagi bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran untuk Pelanggan F dengan barisan SMT dijangka tiba pada Februari FY23.

 

Firma itu menganggarkan prestasi separuh kedua 2023 akan lebih kukuh berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada Pelanggan F.

 

"Selain itu, ia juga disokong dengan peningkatan pengambilan pesanan apabila talian SMT keenam dipasang sepenuhnya pada aliran penuh serta kecekapan dan output yang lebih baik dengan pelaksanaan sistem penghantar baharu," jelasnya.

 

Ia mendapati hasil yang direkodkan Aurelius itu adalah memenuhi jangkaannya, merangkumi 83% dan 70.8% masing-masing daripada unjuran penuh bagi pendapatan dan keuntungan untuk FY23.

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran disemak semula kepada RM3.02 sesaham.

 

"Kami turut menyemak semula hasil dan keuntungan kumpulan bagi FY24 masing-masing sebanyak 12.4% dan 12.5%. 

 

"Malah, kami menyukai saham syarikat ini disebabkan pelan pengembangan yang menarik, kepelbagaian portfolio pelanggan dan rekod prestasi yang kukuh," katanya. - DagangNews.com