Azam tahun baharu, rancanglah kewangan dengan bijak! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 3 January 2023

AZAM TAHUN BAHARU, RANCANGLAH KEWANGAN DENGAN BIJAK!

 

 

SEMPENA tahun baharu 2023, setiap insan mengimpikan kehidupan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

 

Malah, Islam menganjurkan bahawa kehidupan yang baik adalah seimbang dengan wujudnya gabungan unsur kerohanian dan kebendaan dalam kegiatan harian seseorang. 

 

Seperti pesan Rasullullah SAW, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara - masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, berharta sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati. 

 

Sewajarnya, hadis ini diamalkan untuk kebaikan dengan perancangan kewangan yang bijak untuk diri sendiri dan keluarga. 

 

Bijak merancang dan menguruskan kewangan adalah sifat penting membentuk keluarga dan masyarakat sejahtera dan stabil. 

 

Walaupun wang bukan segala-galanya, namun ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. 

 

Perancangan dan pengurusan kewangan membabitkan perbelanjaan, perlindungan daripada risiko, simpanan dan pelaburan. 

 

Mengurus kewangan membolehkan keluarga menyedari matlamat dan berusaha mencapai matlamat dengan sumber kewangan yang ada. 

 

Pengurusan kewangan juga membolehkan sesebuah keluarga menghadapi cabaran atau kejadian yang tidak diduga dan juga akan melatih pembentukan disiplin diri serta sikap bertanggungjawab.

 

Amalan menabung antaranya merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang yang berusaha dengan cara yang baik, berbelanja dengan sederhana dan menabung apa yang lebih (setelah memberi nafkah) untuk saat-saat dia yang memerlukannya nanti" (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim).

 

 

gambar hiasan

 

 

 

Kisah Nabi Yusuf

 


Dalam pembacaan penulis menerusi sebuah buku terbitan IBFIM, merancang merupakan sunnah atau jalan hidup para rasul. Sebagai contoh, kisah Nabi Yusuf memberikan kita pengajaran yang jelas betapa pentingnya perancangan untuk masa depan. 

 

Kisah Nabi Yusuf membuat perancangan untuk Mesir yang menghadapi suasana kegawatan ekonomi akibat kemarau panjang selama tujuh tahun patut diteladani dan dicontohi. 

 

Hal ini kerana Al-Quran tidak akan menceritakan kisah ini hanya untuk bacaan semata-mata. Nabi Yusuf pandai mentafsir mimpi menunjukkan anugerah Allah kepada hambaNya. 

 

Kepandaian Nabi Yusuf dalam mentafsir mimpi diketahui Raja Mesir dan dia dipanggil menghadap untuk tujuan itu. 

 

Cerita ini diterangkan dalam Surah Yusuf, ayat 43-49, di mana Allah menggambarkan contoh usaha manusia membentuk sistem perlindungan menghadapi kemungkinan yang buruk pada masa akan datang. 

 

Secara ringkas, ayat ini bercerita mengenai pertanyaan Raja Mesir kepada Nabi Yusuf tentang mimpi baginda bahawa baginda telah bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan baginda juga melihat tujuh tangkai gandum yang hijau berbuah serta tujuh tangkai yang merah mengering tidak berbuah. 

 

Nabi Yusuf menjawab dan menasihatkan supaya penduduk Mesir terus bercucuk tanam selama tujuh tahun dan hasil pertanian ini hendaklah disimpan sebahagiannya. Kemudian, akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang akan menghabiskan apa sahaja yang mereka simpan bagi menghadapi tempoh sukar itu, kecuali sedikit daripada apa yang disimpan.

 

Surah Yusuf juga menceritakan bagaimana bapanya, Nabi Ya’akub telah membuat perancangan untuk mengurangkan risiko dengan memberi pesanan kepada anak-anaknya: "Dan Ya'qub berkata: ‘Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, tetapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri" (Surah Yusuf: 67).

 

 

gambar hiasan

 

 

Jadikan panduan


Ayat-ayat ini perlu difahami dan dijadikan panduan supaya kita sentiasa bersedia dengan sesuatu perancangan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. 

 

Ia juga menghuraikan bahawa dengan perancangan yang baik dan pengurusan teratur, sesuatu sumber itu dapat dimaksimumkan manfaatnya bagi perancangan masa depan. 

 

Antara kesilapan biasa dalam mengurus kewangan ialah sikap gemar berhutang berbanding membeli sesuatu benda atau perkhidmatan secara tunai. 

 

Kaedah pembelian secara kredit (kad kredit) yang kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup menyebabkan banyak keluarga mengorbankan peruntukan kewangan pada masa depan seterusnya gagal membuat simpanan untuk matlamat kewangan yang lebih penting.

 

Terdapat beberapa bentuk simpanan yang boleh dibuat iaitu menyimpan secara tetap setiap bulan (contoh potongan gaji), simpanan penggunaan iaitu membeli barangan tahan lama, menyimpan secara tabungan khusus melalui caruman takaful, simpanan Tabung Haji, SSPN, ASB/ASN dan KWSP (syariah). 

 

Malah, melalui takaful, sesebuah keluarga itu sebenarnya telah mengambil pendekatan membuat perancangan kewangan sebagai perlindungan untuk diri dan keluarga sekiranya berlaku kemungkinan atau musibah yang tidak diduga. 

 

Oleh demikian, kita tidak seharusnya bersikap menyalahkan takdir jika ditimpa musibah apabila kita sendiri tidak mengambil langkah proaktif dan berusaha mengelakkan risiko tersebut.

 

Selamat Tahun Baharu 2023 kepada semua pembaca tegar kolum Iktisad. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

Portfolio Tags