Bajet 2023 : Kerajaan perkukuh usaha banteras scam | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : Kerajaan perkukuh usaha banteras scam

KUALA LUMPUR 7 Okt - Bagi membendung jenayah scam dengan segera, kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah baru, antaranya penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan(NSRC).

 

Ia merupakan satu usaha sama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) serta institusi kewangan.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pusat itu akan mula beroperasi pada Oktober 2022 dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah

 

Selain itu, katanya, langkah-langkah keselamatan untuk perbankan internet oleh institusi perbankan akan diperketatkan dengan menghentikan penggunaan one-time-password (OTP)yang berasaskan SMS bagi transaksi berisiko tinggi.

 

"Satu platform juga akan disediakan bagi orang ramai melaporkan akaun atau nombor yang disyaki digunakan oleh penjenayah online scam selain memperhebat tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan," katanya ketika membentangkan Bajet  2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Kerajaan juga akan memperkasakan CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta antaranya bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.

 

Bagi melindungi pengguna kredit di samping memupuk pasaran kredit pengguna yang adil dan teratur, kerajaan juga komited untuk membentangkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna pada suku kedua 2023.

 

Melalui usaha itu, sebuah pihak berkuasa amalan bebas yang baharu iaitu Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi mengawal selia semua aktiviti berkaitan kredit pengguna. - DagangNews.com