Bilangan penganggur pada Disember 2022 kali pertama jatuh di bawah paras 600,000 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bilangan penganggur pada Disember 2022 kali pertama jatuh di bawah paras 600,000 - DOSM

KUALA LUMPUR 9 Feb - Bilangan penganggur di Malaysia terus mencatat penurunan pada Disember 2022, di bawah paras 600,000 orang buat kali pertama sejak Mac 2020. 

 

Pada bulan tersebut, bilangan penganggur merekodkan pertumbuhan negatif 0.2% kepada 599,600 berbanding 600,900 pada November 2022. 

 

Ia menyaksikan kadar pengangguran Disember kekal pada 3.6%, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, menjelang akhir 2022, pelbagai sambutan termasuk cuti persekolahan akhir tahun serta lonjakan kunjungan di pusat dan kedai membeli-belah menunjukkan kedudukan ekonomi Malaysia yang semakin baik.

 

Katanya, ia sekali gus membolehkan perniagaan berkembang, terutama bagi penggunaan barang dan perkhidmatan.

 

"Pada masa sama, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan pasaran buruh bagi menyokong momentum pertumbuhan sosioekonomi Malaysia memacu kepada prestasi pasaran buruh yang lebih baik pada bulan berkenaan.

 

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Disember 2022 meningkat 0.1%, sebanyak 16.73 juta berbanding 16.71 juta pada November 2022," katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Disember dan Suku Keempat 2022 yang dikeluarkan hari ini.

 

Pada Disember 2022, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) tidak berubah iaitu pada 69.8% berbanding bulan sebelumnya.

 

Secara keseluruhan, bagi suku keempat, tenaga buruh terus meningkat sebanyak 0.6% kepada 16.54 juta orang manakala KPTB meningkat 0.1 mata peratus kepada 69.5% berbanding suku ketiga, 69.4%.

 

Menurut DOSM, bilangan penganggur pada suku itu juga menurun 1.9% kepada 600,500 orang pada suku keempat 2022. 

 

Oleh itu, kadar pengangguran menurun sedikit kepada 3.6% pada suku tersebut berbanding 3.7% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

 

Melihat kepada situasi pengangguran mengikut negeri, kebanyakan negeri merekodkan penurunan dalam kadar pengangguran kecuali bagi Kedah, Kelantan, Melaka dan Putrajaya, manakala Terengganu kekal tidak berubah. 

 

Kadar pengangguran terendah pada suku tersebut adalah di Putrajaya dengan 1.6% diikuti Perlis (2.2%), Pulau Pinang (2.3%), Johor (2.4%) dan Negeri Sembilan (2.6%). - DagangNews.com