Bursa Malaysia jalin kerjasama dengan UMW, Maybank rancakkan ekonomi hijau | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia jalin kerjasama dengan UMW, Maybank rancakkan ekonomi hijau

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Bursa Malaysia Bhd telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan UMW Holdings Bhd UMW Corporation Sdn Bhd dan Malayan Banking Bhd untuk menggunakan platform kelestarian berpusat bagi merancakkan ekonomi hijau.

 

Platform tersebut membantu bank membangunkan produk dan perkhidmatan pembiayaan hijau, yang akan memberi insentif dan menggalakkan penyahkarbonan sektor korporat dan rantaian bekalan mereka, kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain itu, platform itu membolehkan syarikat tersenarai mengukuhkan pendedahan kelestarian mereka dan mempercepatkan penggunaan pelepasan karbon rantaian bekalan mereka, termasuk entiti tidak tersenarai.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata platform itu turut menawarkan keupayaan tambahan seperti modul Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) serta kalkulator pelepasan karbon untuk korporat dan rantaian bekalan mereka.

 

“Kami menjangkakan membina ekosistem mampan yang akan dapat memenuhi keperluan pelbagai pihak berkepentingan dan boleh dikendalikan justeru memudahkan laluan penerimaan dan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global,” jelas Umar.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli percaya bahawa platform tersebut akan memudahkan korporat untuk mendedahkan data piawaian biasa ESG dengan cara mematuhi piawaian global yang ditetapkan, di mana UMW memainkan peranan pembekal manakala Maybank menyediakan penyelesaian kewangan mampan dalam keseluruhan ekosistem.

 

“Selaras dengan misi Memanusiakan Perkhidmatan Kewangan dan didorong oleh strategi M25+, kami akan terus menyokong pihak berkepentingan dalam penyahkarbonan dengan khidmat nasihat dan melibatkan mereka dalam rancangan penyelesaian pembiayaan dan peralihan mampan,” jelas beliau.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata pengenalan platform baharu itu akan mendorong usaha syarikat ke arah memastikan pelepasan karbon Skop 3 Kumpulan.

 

“Ini membolehkan pengurusan yang lebih objektif dan berkesan bagi pelepasan karbon kumpulan di samping memulakan pelaksanaan TCFD secara berperingkat dari tahun kewangan 2024,” tambahnya.

 

Bekerjasama dengan London Stock Exchange Group (LSEG), Bursa Malaysia telah membangunkan dan menguji platform tersebut yang akan berfungsi sebagai repositori untuk pendedahan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat tersenarai.

 

UMW dan Maybank adalah perintis Program Pengguna Awal (EAP), satu inisiatif mempercepatkan peralihan Korporat Malaysia ke arah ekonomi hijau.

 

Berlangsung dari April hingga Oktober 2023, peserta EAP akan mengesahkan pengekstrakan nilai platform ini. -DagangNews.com