KUALA LUMPUR 9 Nov - Pemegang saham terbesar Caely Holdings Bhd Datuk Seri Tee Yam @ Koo Tee Yam dan bekas naib pengerusi eksekutif Datin Seri Jessie Wong Siaw Puie telah memfailkan saman untuk mendapatkan semula sejumlah RM3.96 juta yang didakwa didahulukan oleh mereka kepada syarikat untuk operasi harian dan kos pengurusan.
Saman itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 18 Nov, kata pengeluar pakaian dalam yang bermasalah itu di Bursa Malaysia.
"Syarikat sedang mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara itu," menurut Caely Holdings.
Koo ialah pemegang saham terbesar Caely dengan 19.12% kepentingan, manakala Wong, yang disingkirkan daripada jawatan naib pengerusi eksekutif pada 15 Jun, dianggap memegang 1.89% kepentingan dalam syarikat itu, berdasarkan makluman Caely di Bursa Malaysia bertarikh 3 Jun.
Wong adalah salah seorang daripada lima pemegang saham yang telah memfailkan permintaan untuk Caely mengadakan mesyuarat agung luar biasa.
Namun permintaan mereka telah ditolak oleh syarikat pada 4 Nov atas alasan pemegang saham tidak memegang secara agregat sekurang-kurangnya 10% daripada modal saham terbitan syarikat.
Mereka meminta EGM, antara lain, membatalkan kelayakan pengasas dan bekas pengarah eksekutif Caely Datin Fong Nyok Yoon dan suaminya Datuk Chuah Chin Lai dan 10 pemegang saham lain daripada melaksanakan hak mereka sebagai pengarah atau pemegang saham syarikat itu. - DagangNews.com