CGS-CIMB jangka Infomina raih lebih banyak kontrak bersama Maybank selepas kejayaan di Indonesia | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka Infomina raih lebih banyak kontrak bersama Maybank selepas kejayaan di Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan kejayaan Infomina Berhad meraih kontrak sulung bersama Maybank Indonesia akan mengukuhkan lagi kedudukannya bagi meraih lebih banyak kontrak bersama bank itu.

 

Firma itu percaya, kontrak itu membuktikan keyakinan terhadap kebolehan kumpulan itu dalam kerangka utama dan ruang transformasi IT dan kerjasama rapat bersama Broadcom, terutamanya di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, China, Hong Kong serta Taiwan.

 

"Kami berpendapat, ia memberi kelebihan kepada kumpulan itu dari segi reputasi dalam kalangan pelanggan selepas mengambil kira kedudukan Maybank sebagai kumpulan perbankan terkemuka di Asia Tenggara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan bahawa mereka berjaya mendapatkan kontrak bernilai AS$3.3 juta (RM14.4 juta) daripada Maybank Indonesia.

 

Kontrak itu adalah bagi menyediakan aplikasi teknologi dan operasi infrastruktur, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan sepanjang tempoh lima tahun (bermula 30 November 2022 hingga 27 November 2027).

 

BACA JUGA: Infomina raih projek pertama di Indonesia bernilai RM14.4 juta daripada Maybank Indonesia

 

Firma itu berkata, kontrak baharu yang bernilai RM14.4 juta itu telah diambil kira dalam unjuran firma itu sebanyak RM275 juta bagi kontrak antara FY23-25.

 

Firma itu menganggarkan bahawa kontrak tempahan semasa kumpulan itu berada di atas RM400 juta (pada akhir 23 Januari 2023) untuk tiga tahun akan datang.

 

"Difahamkan bahawa kumpulan itu menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak kontrak daripada pelanggan tempatan dan luar negara dalam tempoh enam bulan akan datang (dianggarkan RM100 juta hingga RM150 juta untuk lima tahun akan datang).

 

"Kami menganggarkan bahawa tender kumpulan kini berada melebihi RM550 juta, kami menjangkakan ia akan terus berkembang apabila pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan kumpulan mengembangkan perniagaan mereka dalam transformasi IT dan ruang kerangka utama," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.70 sesaham. - DagangNews.com