KUALA LUMPUR 10 Nov - CGS-CIMB Research mengunjurkan ekonomi Malaysia pada suku ketiga akan berkembang 13.5% dipacu pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan dan juga kesan asas yang rendah.
Jangkaan pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9%, malah jauh lebih kukuh berbanding 5% yang dicatat pada suku pertama 2022.
Penganalisisnya, Nazmi Idrus berkata, langkah yang diambil kerajaan dalam mengawal harga dan melaksanakaan subsidi telah mengurangkan hakisan terhadap pendapatan boleh lupus isi rumah sekali gus memberi sokongan kepada pertumbuhan penggunaan.
Katanya, prestasi kukuh merentasi penunjuk di samping aktiviti ekonomi yang normal, kesan daripada kesan asas yang rendah kali ini amat kuat pada angka tahun ke tahun.
"Oleh itu, semua data harus menunjukkan peningkatan yang mantap. Pertumbuhan dua digit itu diperkukuh oleh pemulihan berterusan dalam sektor berkaitan pelancongan di tengah-tengah peningkatan berterusan perjalanan domestik dan ketibaan antarabangsa serta kesan asas yang rendah ekoran penguatkuasaan sekatan pergerakan pada suku ketiga 2021.
"Bagaimanapun, kemungkinan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga yang kukuh akan menjadi sekali sahaja dan semakin perlahan apabila kesan asas yang rendah hilang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan data KDNK bagi suku ketiga, esok.
Bagaimanapun, menurut Nazmi, permintaan terpendam akan menjadi sederhana apabila bank pusat meneruskan kitaran normalisasinya di tengah-tengah jangkaan inflasi yang didorong permintaan yang mampan.
"Setakat ini, kami mengunjurkan dua kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada 2023 menjadikan kadar itu kepada 3.25%," jelasnya.
Secara keseluruhan, beliau mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 7.3% sebelum menyederhana kepada 5% pada 2023. - DagangNews.com