CIMB Group dijangka catat peningkatan margin faedah, pendapatan bersih lebih baik bagi 4QFY22 - HLIB | DagangNews Skip to main content

CIMB Group dijangka catat peningkatan margin faedah, pendapatan bersih lebih baik bagi 4QFY22 - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan keputusan suku tahun akan datang CIMB Group Holdings Berhad akan berlaku peningkatan margin faedah bersih (NIM) bank, pinjaman yang stabil dan pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) yang lebih baik.

 

Firma itu berkata, kos pembiayaan telah meningkat pada suku keempat daripada suku ketiga 2022, disebabkan persaingan sengit deposit, penetapan semula harga deposit matang dan saingan dalam pasaran kewangan.

 

Katanya, NIM kumpulan itu dilihat mencatatkan perkembangan positif dari suku tahun ke suku tahun dengan pengimbangan lebih besar terutama dalam penetapan semula liabiliti aset berfaedah di Singapura bersama pelarasan kadar faedah efektif (EIR) di Indonesia.

 

"CIMB menganggap NIM mungkin berpotensi memuncak pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) dan kami mendapati bahawa pertumbuhan pinjaman masih berterusan dengan baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun saingan deposit sengit, kumpulan itu percaya tidak akan berlaku kekurangan kecairan dalam pasaran.

 

Kumpulan itu berhasrat untuk mengelakkan persaingan harga yang tidak rasional dan menggunakan strategi yang diterajui deposit, yang tidak akan secara agresif mengejar pertumbuhan pinjaman dengan mengorbankan kos pendanaan yang lebih tinggi.

 

“Kumpulan itu menjangkakan dua lagi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2023.

 

“Bagi peratusan peminjam yang telah tamat pengajian daripada program penjadualan semula dan penstrukturan semula tetapi tiada bayaran, sebahagian besarnya kekal tidak berubah pada 6%," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu percaya profil risiko-ganjaran kumpulan adalah seimbang memandangkan harga saham telah menunjukkan prestasi kukuh sepanjang tahun lalu, dan tiada pemangkin positif baharu untuk memacunya dengan lebih tinggi.

 

“Unjuran tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 tidak berubah dan kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.85 sesaham," katanya. - DagangNews.com