Courts lancar kempen tingkatkan kesedaran keselamatan siber rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Courts lancar kempen tingkatkan kesedaran keselamatan siber rakyat Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Courts Malaysia memperkenalkan #BeCyberSmart, kempen pengguna yang bertujuan menjadikan perlindungan digital dan internet mudah diakses dan mampu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia.

 

Dijalankan dengan kerjasama F-Secure Corporation, kempen #BeCyberSmart menyokong Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 yang dilancarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menentang kaedah sindiket penipuan yang semakin berkembang. 

 

Dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching hari ini di Courts Mitsui Outlet Park, kerjasama dinamik ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan literasi siber bagi orang ramai.

 

Majlis turut menyaksikan pelancaran elemen utama kempen, PROTECT 360, sebuah aplikasi penyelesaian keselamatan rangkaian (semua dalam satu) yang menyediakan perlindungan menyeluruh untuk peranti digital seperti komputer, telefon pintar, dan tablet. 

 

Ia melindungi pengguna terhadap pelbagai ancaman dalam talian, termasuk perisian hasad (malware), pancingan data (phishing) dan cubaan penggodaman. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Courts Malaysia, Harry Higashiura berkata, sebagai peruncit perabot dan barangan elektronik yang telah berjaya bertapak di rumah pengguna-pengguna Malaysia sejak lebih tiga dekad yang lalu, mereka percaya sudah tiba masanya untuk mengambil inisiatif membantu pengguna kekal selamat.

 

“Keselamatan siber telah menjadi aspek penting dalam kehidupan seharian kita. Apabila semakin ramai pengguna beralih ke arah gaya hidup digital, keperluan untuk ekosistem digital yang lebih selamat dan terjamin menjadi kritikal. 

 

"Kerjasama kami dengan F-Secure untuk kempen #BeCyberSmart dan memperkenalkan PROTECT 360 untuk seluruh rakyat Malaysia adalah tepat pada masanya dalam mewujudkan persekitaran digital lebih selamat dan memperkasakan individu untuk menjaga keselamatan dalam talian mereka," katanya dalam kenyataan.

 

Pengarah Serantau F-Secure, G U Renukanand berkata, PROTECT 360 bukan sekadar sebuah aplikasi, ia adalah perisai yang membolehkan pengguna menjalani kehidupan tanpa perlu risau dengan jenayah siber. 

 

"Dengan PROTECT 360, pengguna dapat membeli-belah dan membuat transaksi perbankan dengan selamat, melindungi tiga atau lebih peranti dari ransomware dan virus, serta akses kepada perlindungan keselamatan data dan identiti," katanya.

 

Kempen #BeCyberSmart yang berlangsung di seluruh negara dari Mac hingga Ogos tahun ini akan menampilkan pelbagai inisiatif termasuklah aktiviti kesedaran dan pendidikandi media sosial untuk menggalakkan amalan baik keselamatan siber. 

 

Selain itu, terdapat juga pakej promosi PROTECT 360 yang menawarkan insurans PA percuma, PROTECT 360 percuma, pilihan untuk menaik taraf kepada pelan perlindungan pembayaran, dan jaminan tambahan pada produk untuk mereka yang mencari perlindungan lebih menyeluruh. - DagangNews.com