Creador labur AS$55 juta dalam syarikat peruncit Switzerland, Dali Stores | DagangNews Skip to main content

Creador labur AS$55 juta dalam syarikat peruncit Switzerland, Dali Stores

HANOI 2 Feb - Firma ekuiti swasta, Creador melabur sebanyak AS$55 juta untuk peruncit Dali Stores yang berpangkalan di Switzerland iaitu pengendali rangkaian kedai runcit diskaun di Filipina, menurut laporan Nikkei.

 

Creador yang ibu pejabatnya di Malaysia menyertai firma ekuiti swasta Navegar yang berpangkalan di Filipina untuk pelaburan tersebut yang dimuktamadkan pada awal Januari, kata Pengasas Creador, Brahmal Vasudevan kepada DealStreetAsia.

 

Navegar melihat urus niaga itu sebagai pusingan pembiayaan susulan, menurut firma undang-undang Switzerland Lenz & Staehelin, yang menasihati firma tersebut mengenai pelaburannya. 

 

Nikkei juga melaporkan pusingan pertama pembiayaan itu telah diumumkan pada Ogos 2022 namun butiran kewangan dua peringkat pelaburan Navegar tidak didedahkan.

 

Wakil Lenz & Staehelin enggan mengulas dan DealStreetAsia juga telah menghubungi Navegar dan Dali.

 

Sementara itu, pelaburan Creador di dalam Dali dibuat daripada dana kelimanya yang ditutup melebihi sasaran dengan komitmen AS$700 juta awal tahun lalu. 

 

Creador V yang diperuntukkan untuk pelaburan di India dan Asia Tenggara telah digunakan kira-kira 40%, kata Vasudevan di dalam laporan Nikkei itu.

 

Dali mendakwa operasi kedai runcitnya di Filipina adalah yang pertama mampu memberikan harga diskaun paling rendah (hard discounter) di rantau Asia Tenggara.

 

Hard discounter mempunyai barisan produk yang terhad bertumpukan produk label persendirian. Dali menjual makanan, produk penjagaan diri dan barangan isi rumah di 200 kedai di negara tersebut.

 

Menurut Vasudevan, konsep kedai diskaun yang terletak di kawasan kediaman semakin popular dalam kalangan pengguna yang mencari lebih banyak kemudahan dan kebolehcapaian daripada yang ditawarkan oleh pasar raya besar.

 

Sementara itu, menerusi laman webnya, Dali berkata, dengan populasi 110 juta di Filipina, negara itu mempunyai perbelanjaan makanan dan pendapatan boleh guna tertinggi di Asia. 

 

Vasudevan menambah bahawa Filipina bakal menjadi antara pasaran paling aktif untuk pelaburan firma itu.

 

Pelaburan Creador ini adalah berikutan sokongannya untuk perniagaan pengangkutan motosikal Angkas, biro kredit CIBI dan baru-baru ini pada Ogos 2022, UNOAsia, penggabungjalin UNO Digital Bank di Filipina yang berpangkalan di Singapura, menurut Nikkei yang menambah pelaburan pusingan pra-Siri A AS$11 juta di dalam UNOAsia diketuai oleh Creador.

 

Firma yang mempunyai pasukan lapan pegawai pelaburan di Filipina tersebut sebelum ini telah membantu syarikat portfolio Malaysia, MR DIY dan Tealive, berkembang ke Filipina.

 

Firma ekuiti swasta itu juga sedang mencari untuk menggunakan kira-kira 35% hingga 40% daripada dana kelimanya kepada syarikat di India, kata Nikkei memetik kenyataan DealStreetAsia dalam temu bual pada November 2022.

 

Creador telah mengumpul kira-kira AS$2.2 bilion melalui lima instrumen pelaburannya sejak ditubuhkan pada 2011 dan dana Creador IV bernilai AS$580 juta telah dilancarkan pada 2019.

 

Sementara itu, Creador melepaskan sebahagian daripada pelaburannya di dalam MR DIY dan firma pelaporan kredit CTOS apabila syarikat-syarikat ini membuat penampilan sulung di pasaran awam masing-masing pada 2020 dan 2021.

 

Tealive dilaporkan berkata pada Oktober lalu bahawa ia akan menyemak semula rancangan tawaran awam permulaannya sebaik sahaja mencapai 1,000 kedai di Malaysia menjelang 2024. – DagangNews.com