Dana asing dijangka kembali memasuki pasaran pesat membangun seperti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dana asing dijangka kembali memasuki pasaran pesat membangun seperti Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Mac - Dana asing dijangka akan kembali memasuki pasaran Asia di masa depan, terutama pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia, kata firma penyelidikan, Rakuten Trade Sdn Bhd.

 

Rakutan dalam satu satu nota kajian berkata, perkembangan itu berikutan penilaian saham yang rendah, penurunan ringgit dan peningkatan ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

 

Ketua Penyelidiknya, Kenny Yee Shen Pin berkata, indeks petunjuk utama FBM KLCI dijangka mencecah 1,630 mata berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 15.5 kali manakala ringgit mencecah sekitar RM4.20-RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.

 

Tambahnya, susulan ketidaktentuan di AS dan Eropah, risiko pelabur untuk terjejas juga kian ketara dan pelabur dijangka kembali beralih ke Asia yang mereka abaikan sejak tempoh pandemik pada tahun 2020.

 

“Jika dilihat sebelum ini, mereka mempunyai mudah tunai yang banyak dan berdagang dengan selesa di negara asal masing-masing. Namun, kali ini dengan risiko tinggi di pasaran sendiri, mereka tiada pilihan kecuali kembali meninjau pasaran Asia,” katanya pada sesi taklimat media secara maya mengenai Prospek Pasaran Malaysia Bagi Suku Kedua, lapor Bernama.

 

Pasaran kewangan global berdepan kemelut kenaikan kadar faedah selain kejatuhan Silicon Valley Bank di AS dan Credit Suisse memerlukan bantuan kewangan, telah mencetuskan kebimbangan mengenai berlakunya krisis perbankan global.

 

Mengulas lanjut, Yee berkata, biarpun Malaysia bukan dalam kelompok ‘liga utama’ bursa Asia, ia akan tetap menikmati beberapa impak positif apabila dana asing ini hadir semula sekali gus meningkatkan lagi jumlah mudah tunai pasaran.

 

Malah, tambahnya, berdasarkan perkembangan di AS, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak cenderung untuk menaikkan kadar faedah bagi mempertahankan ringgit.

 

“Kami berpendapat bahawa BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus tahun ini yang membolehkan aktiviti ekonomi tempatan menumpukan usaha mewujudkan kekayaan dan menarik dana asing apabila melihat berlakunya pertumbuhan.

 

“Apabila dana asing itu mulai masuk, dinamik tawaran dan permintaan ringgit akan pulih semula.

“Pada masa ini, ringgit diniagakan sekitar 4.50 berbanding dolar AS dan dijangka mencecah 4.20-4.10 menjelang akhir 2023. Bayangkan impak berganda yang bakal dinikmati oleh pelabur asing,” katanya.

 

Yee berkata, para pelabur akan mula bertindak menyusun semula serta mempelbagaikan portfolio masing-masing khususnya dalam sektor kewangan Asia yang lebih stabil dari segi permodalan.

 

Justeru, beliau menasihatkan pelabur untuk mula bertumpu di bawah paras 1,400 terutama bagi saham-saham mewah susulan kedudukan sektor perbankan Malaysia yang lebih berdaya tahan dan diniagakan pada nilai yang munasabah.

 

 Bagi suku kedua, FBM KLCI diunjur dalam jajaran 13.6 kali daripada lingkungan PE yang merupakan hampir 30 peratus di bawah paras purata rekodnya. - DagangNews.com