Dasar Automatif Nasional perlu disemak segera, hadapi persaingan EV | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 20 March 2023

Dasar Automatif Nasional perlu disemak segera, hadapi persaingan EV

 

 

 

DASAR Automatif Nasional (NAP) 2020 perlu segera disemak bagi memastikan industri automatif negara kekal relevan.

 

Seperti yang kita tahu  NAP 2020 dirangka dalam usaha menggerakkan Malaysia ke arah matlamat menjadi peneraju serantau dalam pembuatan, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan sektor automotif.  Adakah perkara ini mampu di capai?

 

3 Teras Hala Tuju

Apakah sebenarnya hala tuju NAPA 2020? NAP 2020 menerapkan tiga teras hala tuju dalam  pelan tindakan.

  1. Teknologi dan kejuruteraan melibatkan pembangunan dalam komponen kritikal dan sistem untuk NxGV, MaaS, dan IR4.0.
  2. Melalui mekanisme insentif yang sesuai akan diteruskan berdasarkan analisis kos faedah daripada cadangan perniagaan berkaitan oleh pelabur.
  3. Perkembangan pasaran iaitu pendekatan yang diperkenalkan untuk meningkatkan pembangunan eksport, bukan sahaja untuk kenderaan dan komponen, tetapi juga untuk sektor perkhidmatan dan selepas pasaran.

 

Dalam situasi semasa, adakah ia masih lagi relevan?


 

EV

 


Potensi bangunkan industri kenderaan elektrik

Kerajaan perlu menyemak semula NAP 2020 kerana pada masa kini, industri kenderaan elektrik (EV) adalah satu industri yang bakal berkembang.

 

Jika NAP tidak disemak dengan mengambil kira pembangunan EV, industri automatif di Malaysia pastikan akan “terkubur” dalam masa akan datang.

 

Ekosistem industri EV ini perlu diberi tumpuan dengan menambah baik pendekatan dalam NAP dari segi bagaimana pelaksanaannya boleh dilakukan di Malaysia.

 

Selarikan NAP dengan Dasar Pengangkutan Negara dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon

Bagi mempercepatkan keperluan menyemak NAP dengan mengambil kira EV, kerajaan boleh melihat bagaimana keperluan Dasar Pengangkutan Negara dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.

 

Isu Pemanasan Global  akan memacu penggunaan EV di Malaysia di tengah-tengah peningkatan seruan ke arah mencapai matlamat ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) di peringkat global.


 

EV

 


Satu badan induk perlu bertindak untuk merangkumkan semua dasar berkaitan EV dan menyatukan semua pihak berkepentingan untuk membentuk persefahaman yang sama serta sinergi yang kukuh dalam memastikan semua inisiatif merentasi skop dan bidang kuasa masing-masing dapat digabungkan.

 

Penilaian kepada dasar semasa dan infrastruktur

Kerajaan perlu membuat penilaian kepada dasar semasa  dan menggubal dasar baharu jika benar-benar mahukan melaksanakan agenda EV di Malaysia.

 

Selain daripada dasar, kerajaan juga perlu melihat kepada infrastruktur yang terdapat di Malaysia bagi agenda EV ini. Adakah Malaysia mempunyai stesen pengecasan yang mencukupi?

 

Sehingga kini, stesen pengecesan ini sebanyak 900 stesen terdapat di Malaysia. Namun begitu jumlah ini masih lagi di anggap sedikit jika agenda EV ini benar-benar mahu dilaksanakan di Malaysia.

 

Sasaran pelaburan EV RM40 bilion

Jika kerajaan segera menyemak NAP 2020 ini, dijangkakan pelaburan EV ini akan mencecah RM20 bilion menjelang tahun 2025 dan jumlah ini akan meningkat kepada RM40 bilion pada tahun 2030.


 

tnb


 

Jika Malaysia tidak bertindak segera, banyak negara ASEAN yang lain yang juga berpotensi untuk pelabur untuk melabur dalam industri EV ini.

 

Thailand antara yang paling bersedia

Thailand dilihat yang paling bersedia untuk menguasai industri automotif dengan memulakan kenderaan EV di ASEAN.

 

Ini kerana kerajaan Thailand mempunyai polisi-polisi automatif yang tidak berpihak kepada mana-mana syarikat kenderaan dan ia mempromosikan aktiviti pemasangan tempatan (CKD) dan juga usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

 

Jangan terlalu “manjakan” Proton dan Perodua

Contohi Thailand yang mempunyai polisi automatif yang tidak memihak kepada mana-mana syarikat kenderaan.

 

Sudah sampai masanya kerajaan dengan lebih berbuka untuk menggubal dasar-dasar yang lebih kompetitif bagi industri automatif negara. Jangan diberi layanan “istimewa”kepada Proton mahupun Perodua.


 

tnb

 


Seperti yang kita tahu, dalam NAP 2020 kriteria bagi Malaysian Vehicle Project (MVP) menjadi garis panduan yang telah menetapkan status Proton sebagai pengeluar kenderaan tempatan.

 

Namun begitu, dalam situasi semasa, NAP yang perlu dikaji semula ini perlu lebih “adil” dalam membangunkan industri automobil di Malaysia selari dengan perkembangan industri automobil global.

 

Persaingan negara ASEAN

Selain Thailand, Malaysia juga “berhati-hati” dengan negara lain di ASEAN. Bagi mengukuhkan kedudukan dalam industri automotif, Malaysia perlu bersaing dengan dengan Vietnam yang kini juga “memecut”. Kita tidak boleh nafikan kekuatan Vietnam.

 

Dek kerana mempunyai polisi yang hampir sama dengan Thailand, tidak mustahil Vietnam bakal menjadi kuasa baharu dalam dunia automatif di ASEAN.

 

Hal ini disokong dengan tenaga buruh yang murah di Vietnam. Selain itu, pekerja Vietnam ini dilihat mempunyai disiplin yang agak baik dan sanggup bekerja keras dan sentiasa positif. Suruh buat apa pun, pasti boleh!

 

Indonesia juga menunjukkan minat untuk  memajukan industri  dan kenderaan EV. Ini dibuktikan apabila kerajaan Indonesia dalam cadangan untuk membuat pembelian kenderaan-kenderaan EV dalam jumlah yang besar untuk kegunaan polis dan jabatan-jabatan kerajaan.

 

Perlu ada usahasama strategik dan rakan kongsi antarabangsa

Bagi terus memacu industri automatif dengan segera,  kerajaan perlu mendapatkan usahasama strategik dan rakan kongsi antarabangsa.

 

Kerajaan perlu menggalakkan peserta industri automatif di Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak luar untuk sebarang bentuk kerjasama strategik.

 

Kerjasama ini bukan hanya tertakluk kepada berkongsi skala dan sumber semata-mata, namun begitu usahasama strategik ini boleh diluaskan kepada menyediakan akses kepada peserta industri automatif tempatan untuk menyertai rangkaian bekalan automatif global.


 

tnb

 


Malaysia perlu segera jadi hab EV ASEAN

Jika usahasama strategik dengan pelabur antarabangsa boleh dilakukan dengan segera, Malaysia boleh menjadi hab ASEAN.

 

Malaysia perlu meyakinkan pelabur-pelabur dalam industri automatif untuk melabur di Malaysia supaya Malaysia boleh menjadi hab EV ASEAN dalam membangunkan industri automatif EV. Jika Malaysia menjadi hab EV serantau, banyak syarikat akan melabur dan melakukan pemasangan kereta di Malaysia.

 

Hal ini pastinya akan meningkatkan skala pengeluaran secara berfokus dan meninggikan rangkaian industri serta Malaysia boleh menjadi pengeksport yang kompetitif.

 

Ia tidak mustahil untuk dicapai. Tetapi kadang-kala kita ni banyak bincang-bincang sahaja dari melaksanakan. Jangan terlepas peluang dan ternganga nanti!  - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags