DNeX raih kontrak penyelenggaraan perisian daripada LHDN bernilai RM4.05 juta | DagangNews Skip to main content

DNeX raih kontrak penyelenggaraan perisian daripada LHDN bernilai RM4.05 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Feb - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikatnya, Innovation Associates Consulting Sdn. Bhd. (IAC) berjaya meraih kontrak penyelenggaraan bernilai RM4.05 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Menerusi kontrak selama setahun itu, IAC akan bertanggungjawab ke atas aplikasi serta penyelenggaraan perisian Sistem Hasil Percukaian Bersepadu Malaysia (HITS) dan akan beroperasi di ibu pejabat LHDN di Cyberjaya.

 

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kontrak itu adalah bukti keupayaan IAC dengan rangkaian komprehensif perkhidmatan pengurusan projek teknologi maklumat (IT), memanfaatkan teknologi termaju untuk membantu organisasi meningkatkan operasi mereka.

 

“Kami berterima kasih kepada LHDN atas kepercayaan yang diberikan dalam melaksanakan projek ini dan kami komited untuk menawarkan perkhidmatan serta penyelesaian terbaik bagi membolehkan mereka mengembangkan operasi dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, kontrak penyelenggaraan HITS akan membantu kumpulan itu mengukuhkan perundingan teknologi syarikat dan cabang integrasi sistem melalui IAC untuk mengembangkan keupayaan digital dalam usaha menjadi pemain digital terkemuka serantau.

 

dnex
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

“Kami boleh membantu pelanggan kami dalam menyelaraskan misi perniagaan strategik dengan amalan mereka dengan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan dan analitik data besar, disokong oleh juruteknik sokongan teknikal kami yang bertauliah," katanya.

 

Kontrak penyelenggaraan HITS LHDN boleh meningkatkan lagi keupayaan IAC dalam penggunaan dan mengekalkan sistem kompleks yang dibangunkan menggunakan platform pembangunan aplikasi kod rendah.

 

Di samping itu, syarikat akan terus mengembangkan keupayaannya secara agresif bagi mengembangkan bahagian pasarannya untuk projek baharu dalam sektor awam dan swasta di dalam dan luar negara. - DagangNews.com