Duopharma raih lanjutan kontrak bekalan ubat, AmInvestment kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Duopharma raih lanjutan kontrak bekalan ubat, AmInvestment kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Duopharma Biotech Bhd. dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.89 sesaham.

 

Ini berikutan kumpulan meraih surat pemberitahuan daripada Pharmaniaga Logistics untuk lanjutan perjanjian bekalan atau kontrak senarai pembelian produk (APPL) yang diluluskan kepada 30 Jun 2023 dari 31 Disember 2022. 

 

Kontrak itu bagi membekalkan produk farmaseutikal atau bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik di bawah kerajaan.

 

"Kami melihat lanjutan kontrak ini adalah sejajar dengan jangkaan kami yang telah diambil kira dalam unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebelum ini, Duopharma telah dianugerahkan kontrak APPL pada 2017 bagi tempoh tiga tahun sehingga 2019. 

 

Kontrak itu kemudiannya dilanjutkan dua kali iaitu selama 25 bulan sehingga 31 Disember 2021 dan 12 bulan sehingga 31 Disember 2022.

 

Kenanga Research menyukai Duopharma berikutan kedudukannya sebagai pengeluar produk farmaseutikal terbesar di negara ini. 

 

"Ia boleh mendapat kelebihan daripada pengambilan ubat-ubat generik yang meningkat di Malaysia dan paten industri yang akan datang pada 2022-2026 dan biosimilar yang berkembang pesat dengan kekuatan syarikat dalam R&D dan kemudahan pembuatan terkini.

 

"Selain itu, kumpulan juga menyaksikan pasaran Vitamin C yang semakin berkembang dengan jenama popularnya, Champs dan Flavettes," katanya.

 

Setakat 12.10 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 1.23% kepada RM1.65 dengan 720,200 saham diniagakan. - DagangNews.com