ECA Integrated Solution dijangka jana pendapatan kukuh bagi FY23 didorong jualan sistem pengeluaran, peralatan – PublicInvest | DagangNews Skip to main content

ECA Integrated Solution dijangka jana pendapatan kukuh bagi FY23 didorong jualan sistem pengeluaran, peralatan – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Prestasi ECA Integrated Solution Berhad bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (1QFY23) adalah permulaan yang baik dan dijangka pertumbuhan pendapatan kukuh tahun ini, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Susulan laporan kewangan kumpulan semalam, firma penyelidikan itu berkata, prospek kumpulan dijangka daripada sumbangan 30 hingga 40% daripada sistem pengeluaran bersepadu (IPS) dan peralatan automatik kendiri menyumbang baki 60 hingga 70% untuk tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Menurut firma itu, hampir 60% daripada jualannya diperoleh daripada industri automotif dan baki 40% daripada industri semikonduktor.

 

“Memandangkan buku pesanan kukuh daripada peralatan tersuai, kami menjangkakan untuk melihat margin 33 hingga 35% lebih tinggi tahun ini,” ujar firma tersebut dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, kumpulan itu telah menyasarkan untuk mengembangkan pangkalan pelanggannya bagi segmen IPS memandangkan buat masa ini ia hanya mempunyai dua pelanggan utama di samping kekal fokus pada mesin pemeriksaan optik automatik (AOI) untuk dua pelanggan baharu

 

 

Dengan mengandaikan tiada kelewatan, sumbangan jualan daripada segmen peralatan automasi kendiri dijangka meningkat pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23), dipacu oleh penghantaran sekurang-kurangnya 20 unit mesin pemeriksaan penglihatan, di mana kilang itu boleh menghasilkan enam mesin setiap dua minggu dengan kemudahan semasa.

 

Di samping itu, hasil RM25.5 juta daripada penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu telah digunakan sebanyak 44.7% atau RM11.4 juta untuk memperoleh jentera termaju baharu bagi memperkukuh keupayaan pengeluarannya serta modal kerja  pelaksanaan tempahan pelanggan yang lebih besar.

 

Perolehan teras kumpulan untuk 1QFY23 sebanyak RM4.1 juta telah didorong oleh jumlah penghantaran yang tinggi untuk sistem pengeluaran bersepadu (IPS) dan peralatan automasi kendiri, manakala pendapatannya melonjak 36% suku ke suku (QoQ) kepada RM10.6 juta daripada RM7.8 juta dalam suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22).

 

Segmen IPS telah menyumbang 70% daripada jumlah jualan RM10.6 juta kumpulan tersebut manakala selebihnya daripada segmen peralatan automasi kendiri.

 

Menurut firma itu, jumlah akhir kunci kira-kira ECA Integrated Solution bernilai RM4.1 juta, disokong oleh margin sebelum cukai yang stabil sebanyak 38.7%.

 

Hasil kewangan kukuh tersebut merangkumi 27.9% daripada ramalan tahun penuh firma penyelidikan itu dan dijangka pendapatannya lebih kukuh pada FY23.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.23 sesaham berdasar 35x pendapatan sesaham (EPS) FY24. -DagangNews.com