Ford raih anugerah perak untuk jenama automotif pilihan ramai Putra Aria Brand Awards 2022 | DagangNews Skip to main content

Ford raih anugerah perak untuk jenama automotif pilihan ramai Putra Aria Brand Awards 2022

Turse Zuhair bergambar bersama anugerah perak yang diraih pada Putra Aria Brand Awards 2022, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal Ford di Malaysia meraih anugerah perak bagi jenama automotif pilihan ramai dalam Putra Aria Brand Awards 2022, baru-baru ini.

 

Anugerah ini ditentukan melalui kaji selidik pengguna di seluruh negara untuk mengenal pasti jenama kegemaran Malaysia bagi 24 kategori berasingan. 

 

Kaji selidik berkenaan dijalankan dan dinilai berdasarkan kaedah kajian menyeluruh oleh syarikat kajian antarabangsa IPSOS.

 

Pengarah Urusan SDAC, Turse Zuhair berkata, pihaknya berbesar hati dinobatkan sebagai penerima anugerah pilihan ramai di bawah Putra Brand Awards yang berprestij. 

 

"Terima kasih kepada semua warga Malaysia yang telah memilih Ford sebagai jenama pilihan mereka dalam kategori automotif. 

 

"Kami akan kekal komited untuk memberikan sebuah pengalaman jenama yang menyeluruh serta layanan khidmat pelanggan bertaraf dunia kepada semua pelanggan Ford," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Putra Aria Brand Awards dianjurkan pada 2022 oleh Persatuan Agen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk melayani secara cekap dan meliputi lingkungan pemasaran dengan memberi perhatian kepada usaha penjenamaan dalam semua segmen. 

 

 

ford

 

 

Dinilai melalui perkembangan pilihan pengguna, anugerah ini menyasarkan untuk mengiktiraf kecemerlangan jenama dalam memberikan kesan dan memperkukuh kehadiran mereka dalam pasaran.

 

Lebih daripada 25,000 maklum balas pengguna telah diterima sepanjang lapan minggu kaji selidik berkenaan dijalankan, dari hujung September hingga pertengahan November 2022. 

 

Responden bagi kaji selidik ini menilai semua jenama terlibat berdasarkan enam kriteria, antaranya kebiasaan mereka dengan jenama, pengalaman mereka dengan jenama, tanggapan mereka tentang jenama, hasrat untuk pembelian, jenama pilihan terpaksa dan jenama yang akan mereka cadangkan kepada rakan serta keluarga.

 

Putra Aria Brand Awards merupakan satu daripada dua pengiktirafan yang disokong Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Persatuan Pakar Media (MSA) dan Persatuan Digital Malaysia (MDA).

 

IPSOS adalah pelopor peringkat global bagi kaji selidik pasaran yang menerapkan pengetahuan terbaik dalam sains dan teknologi, serta melaksanakan prinsip keselamatan, keringkasan, kepantasan dan pengisian ke dalam semua perkara yang dilakukan. - DagangNews.com