HLIB kekal 'neutral' terhadap sektor pembinaan kesan daripada kekurangan tenaga pekerja, kenaikan kos | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal 'neutral' terhadap sektor pembinaan kesan daripada kekurangan tenaga pekerja, kenaikan kos

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pembinaan kesan daripada kekurangan tenaga pekerja serta kos pekerja serta bahan mentah yang tinggi.

 

Firma itu menjangkakan perolehan sektor itu akan pulih pada tahun ini namun kekal berhati-hati terhadap situasi kekurangan tenaga pekerja yang semakin berlarutan.

 

"Pendapatan secara majoritinya sangat mengecewakan kerana kekurangan tenaga pekerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, 4QFY22 tidak akan menunjukkan sebarang perubahan di dalam sektor itu melainkan kontrak MRT3 mula diagihkan namun berdasarkan semakan, pengagihan kontrak masih berjalan mengikut jadual.

 

Katanya, subkontrak bagi kerja-kerja kejuruteraan awam akan dikeluarkan pada 1QFY23 selepas pemberian kontrak utama dan kelewatan mungkin berlaku akibat kekeliruan mengenai peraturan pegangan saham selain kesan kenaikan kadar ke atas pembiayaan.

 

"Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan banjir kilat (mengikut Meteorologi Malaysia) mungkin akan memberi kesan kepada penganugerahan kontrak untuk kerja-kerja infrastruktur awam pada 4QFY22.

 

"Bagi sektor swasta, kami menjangkakan perkara akan menjadi lemah dengan pelbagai kebarangkalian dan PRU-15 merupakan antara sentimen utama," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun menyukai Sunway Construction Group Berhad (beli, TP:RM1.90) kerana memiliki kunci kira-kira yang kukuh selain memiliki rekod cemerlang bagi projek infrastruktur.

 

"Selain daripada projek MRT3, syarikat itu juga bakal menerima manfaat daripada peningkatan skop LRT3 dengan pakej sedia ada sudah hampir siap sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com