Impak negatif amalan khurafat, waspadalah semua | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 13 January 2023

Impak negatif amalan khurafat, waspadalah semua

 

 

KHURAFAT ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.

 

Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.

 

Sementara azimat pula ialah suatu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudaratkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa-kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semulajadi apabila dijampi atau dipuja.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tarikh 9 Ogos 1996 telah mengeluarkan Garis Panduan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam untuk diterima pakai di peringkat negeri-negeri di Malaysia dan dijadikan rujukan dalam mengeluarkan fatwa berkaitan pengharaman sesuatu ajaran yang terdapat unsur khurafat.


 

irsyad

 


Terdapat pelbagai impak negatif perbuatan khurafat, sedangkan Islam mempunyai prinsip akidah yang sangat jelas dan tegas supaya masyarakat Islam terpelihara dan berada dalam landasan yang benar.

 

1. Perbuatan syirik dan dosa besar

Perbuatan khurafat boleh menyebabkan seseorang tergelincir daripada akidah sehingga boleh membawa syirik iaitu mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

 

Islam melarang dan menolak kepercayaan kepada benda-benda keramat, memuja, memohon pertolongan, melepaskan nazar dan percaya benda-benda keramat mempunyai kuasa selain daripada Allah SWT adalah kerana membawa kepada syirik.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak ampunkan dosa syirik sementara Dia memaafkan dosa-dosa yang lain. Maka sesiapa yang mempersekutukan (syirik) kepada-Nya sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar” (Surah al-Nisa: 48).

 

Sebaliknya, Islam mengajarkan supaya berserah diri dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT dalam berdoa dan berharap tanpa melalui sesuatu perantaraan pun.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) tiada sesuatu pun akan menimpa kami melainkan dengan ketentuan Allah. Dialah penolong kami, maka hendaklah orang yang beriman itu bertawakal kepada Allah” (Surah al-Taubah: 51).

 

2. Memburukkan imej Islam

Perlakuan dan amalan khurafat yang bertentangan ajaran Islam boleh mencemarkan kesucian.

 

Agama Islam adalah suci dan murni dari sebarang penambahan dan pengurangan dalam beramal dan beribadah kepada Allah SWT. Islam mengajar dan mendidik supaya beribadah dengan cara mengikut sunnah Nabi SAW sepenuhnya.

 

Nabi SAW telah memberi amaran dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak” (Riwayat Muslim).


 

irsyad

 


3. Menyebabkan kemurkaan dan bala dari Allah SWT

Sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan dan menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya pada yang zalim, malah kepada yang beriman juga.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim dalam kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab siksa-Nya” (Sural al-Anfal: 25).

 

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (siksa) kepada mereka. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang soleh? Baginda menjawab: ada. Aku bertanya lagi: Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka? Jawab Baginda: Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang yang melakukan maksiat, kemudian mereka akan mendapat ampunan dan keridhaan dari Tuhannya” (Riwayat Imam Ahmad).

 

Ayat dan hadis di atas mengingatkan sekiranya manusia melakukan maksiat dan menentang perintah Allah SWT, maka Allah SWT akan menurunkan kehinaan dan kebinasaan samada di dunia mahupun di akhirat.

 

4. Mengkhayalkan

Mengakibatkan masyarakat mundur dengan khayalan yang sia-sia tanpa mendatangkan manfaat dan kebaikan.

 

Pembaziran masa, tenaga dan harta turut berlaku kerana masyarakat terpedaya dan fokus dengan amalan yang tidak bermanfaat. Amalan khurafat juga menyekat kebebasan akal berfikir secara logik dan sistematik.

 

Kemajuan atau kemunduran masyarakat Islam adalah bergantung kepada kualiti peribadi samada keimanan mahupun pemikiran. Sekiranya kualiti keimanan dan pemikiran masyarakat Islam baik, maka akan mengalami kemajuan. Sebaliknya, jika kurang baik, maka akan mengalami kemunduran.


 

irsyad

 


Demikianlah, Islam adalah agama yang sangat mementingkan kemurnian dan kesejahteraan akidah yang benar serta tegas terhadap perkara yang boleh merosakkan dan membatalkan akidah.

 

Kerjasama dan sinergi pelbagai pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk mendidik dan melakasanakan penguatkuasaan terhadap masyarakat Islam adalah penting demi menjaga kemuliaan dan kesucian ajaran Islam di Malaysia. - DagangNews.com

 

 
DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags