Impian menjadi Negara Paling Berbudaya, Bahagia  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 5 December 2022

Impian menjadi Negara Paling Berbudaya, Bahagia 

 

 

 

“Mampu Membina Identiti Secara Bebas, Memanfaatkan Pelbagai Sumber Budaya, Dan Mampu Membangunkan Warisan Dengan Cara Yang Kreatif Merupakan Asas Pembangunan Aman dan Mampan Masyarakat.”  

 - Audrey AZOULAY 
Ketua Pengarah UNESCO

 

 

PADA satu masa dahulu, Bapa Kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman paling dikasihi rakyat jelata. Tunku sememangnya mahukan negara kita yang menjadi salah satu negara paling bahagia di dunia.

 

Visi Tunku pada tahun 1960:

"Dengan perpaduan dan kerjasama, kepercayaan dan toleransi antara satu sama lain, dengan kerja keras dan hati yang terbuka, kita boleh menjadikan negara kita antara yang paling gembira di dunia.

"Ini adalah impian saya, inilah yang saya pertahankan untuk memastikan keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran untuk Tanah Melayu kita yang sangat kita cintai."

 

Begitulah seorang wira negara. Impiannya berlainan dari “mainstream”.


 

tunku
Tunku Abdul Rahman

 


Tunku menyuarakan sesuatu yang nampak lekeh dan dangkal hari ini. Seolah-olah hasrat ini tidak lagi penting.

 

Namun, pemimpin sejati adalah mereka yang berjaya membuat sesuatu yang luar biasa, berpegang teguh pada prinsip perjuangan dan menyentuh hati rakyat. 

 

Kebahagian itu bukan kekayaan. Mahupun kemewahan. Kebahagian lebih dari itu. Kebahagian berasal dari perasaan kasih-sayang, kebersamaan. Keyakinan. Jatidiri yang luarbiasa.

 

Dari sini mungkin kita dapat mengorak langkah membina perpaduan. 

 

Dunia Seni & Budaya

Minggu lepas, saya menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022, anjuran Perlembagaan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di bawah pimpinan Datin Paduka Mastura Muhamad. 


 

Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022

 


Apabila sampai di MBSA Convention Centre,  Khair Ngadiron, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sedang memudahcara sesi bersama Bapak Jozep Edyanto dari KuBuku Indonesia dan Datin Paduka Mastura. 

 

Ketika itu,  Bapak Josep Edyanto berkata, “Perdana Menteri Malaysia yang baru sangat dekat dengan dunia literasi.  Sudah tentu kita ingin melihat industri literasi yang bertambah baik untuk semua.”  Bapak Josep sebenarnya menyuarakan harapan ramai rakan dunia penerbitan.

 

Namun, sejujurnya ini bukan sahaja terhad kepada dunia penerbitan.  Industri Kreatif termasuk sektor Seni dan Budaya memerlukan platform untuk mempamerkan karya mereka yang akan memberi manfaat kepada negara. 

 

Ya, kesan daripada pandemik begitu melumpuhkan.  Tetapi jika kita benar-benar mengakui kelemahan, hala tuju pemulihan sektor ini perlu mengatasi inertia sekian lama jauh sebelum Covid.

 

UNESCO menegaskan semasa pandemik 2020 - dunia tanpa budaya adalah dunia tanpa masa depan.

 

Seni & Budaya sering ‘dikepilkan’ bersama Kementerian Pelancongan. Kini, tiada lagi bersama. Kita nantikan perancangannya. 


 

Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022
Ninot Aziz (dua dari kanan) bersama penerbit buku dari United Kingdom dan Mesir ketika bertemu di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 pada 4 Disember 2022.

 


CONTOHI ISTANBUL 

Alhamdulillah, saya baru pulang dari Istanbul selepas ke Pesta Buku Frankfurt. Saya jatuh cinta dengan ibu kota Turkiye, di mana budaya adalah intipati segala-galanya di Istanbul.  Landskapnya, penduduknya, makanannya. Adab dan adatnya. 

 

Ekonomi kreatif, yang merangkumi sektor seni dan budaya, menjana nilai monetari dan bukan monetori menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan.  Budaya boleh menjadi pemacu dan pemboleh ekonomi, kerana seperti yang saya nyatakan di atas, faktor positif kebahagiaan dapat berkembang pesat dalam masyarakat yang intipati budayanya kuat. 

 

Kita perlu membuat penilaian dengan mendalam di mana pemetaan aset tempatan ekonomi kreatif - termasuk pemetaan aset warisan tradisional kita - dan secara agresif memohon pengiktirafan UNESCO terhadap seni, budaya dan warisan kita.  

 

 

Ninot Aziz
Ninot Aziz (kanan) bersama penerbit buku dari Korea Selatan, Yejoo Han di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022.

 


Melalui sastera kita dapat mengutamakan adab dan adat, tunggak budaya dan jatidiri.  Marilah  perlu mengukuhkan asas budaya sebagai pelaburan asas kepada mana-mana dasar pembangunan ekonomi kreatif yang komprehensif.

 

Adalah penting untuk mewujudkan dasar yang mencukupi, kerana ekonomi kreatif sangat bergantung pada sistem budaya tidak formal, di mana penggiat seni dan usahawan sering terpaksa mendapatkan modal dari keluarga dan rakan sebagai saluran pembiayaan utama. 

 

Ini adalah sukar dan pengamal budaya sering terperangkap dan berfikir mereka MESTI melakukan yang terbaik demi seni dan warisan mereka tanpa mengira keuntungan. Namun negara mendapat manfaat daripada ekosistem seni dan budaya. 

 

Jadinya, tentulah  logik negara perlu melabur dalam ekosistem ini - memang kita ada beberapa saluran - tetapi kita perlu pelaburan holistik jangka panjang - daripada plan pembangunan, kepada produk,  pemasaran dan pembiayaan.  Dasar dan platform sedemikian sangat membantu.

 

 "Ekonomi kreatif telah berkembang menjadi salah satu kuasa besar pada zaman kita."

 

Biar saya petik satu contoh pengalaman peribadi:

 

Selama 20 tahun saya menulis karya dan buku tentang Hikayat Melayu, lagenda dan cerita rakyat, hanya mementingkan manuskrip buku, tidak berminat dengan jualan. 

 

Pada tahun 2021, MBKM memilih saya supaya ditemubual HOF mengenai “Stories from the Malay Archipelago”.  MBKM  juga mengajar saya bagaimana memperkenalkan hasil kerja kami di peringkat antarabangsa. 

 

Lalu, tahun ini saya menghadiri FBM 2022, boleh dikatakan pesta buku terbesar di dunia, dan MBKM mengadakan seminar untuk mempersiapkan kami untuk beberapa minggu.  MBKM juga sempat mengadakan seminar hak perdagangan sebelum kami berlepas ke Frankfurt.

mbkm

Di sana, saya berjaya membincangkan dan mengesahkan perjanjian hak perdagangan dengan penerbit Itali dan Jerman.  Di SIBF, sekali lagi terdapat program Fellowship yang baru dilancarkan dan saya berpeluang membincangkan hak dagang berpotensi dengan Mesir dan Korea Selatan serta projek dengan Turkiye.  Tambahan pula disokong kosnya oleh pelbagai pinak. 

 

Semua ini tidak terlintas langsung di fikiran saya dua tahun lalu.

 

Tahniah MBKM!

Ciptalah peluang baharu untuk usahawan dan penggiat budaya, libatkan mereka dalam aktiviti pemasaran, dan berikan mereka platform yang bersesuaian untuk pembangunan struktur sosial dan budaya masyarakat.

 

Bantu para penggiat seni, budaya dan sastera terlibat dalam dialog dan platform antarabangsa untuk memudahkan pertukaran dan pembelajaran bersama serta perkongsian maklumat dan pengalaman.

 

 ASPIRASI BUDAYA

Saya amat ingin berbakti pada nusa dan bangsa, memperkenalkan hikayat Melayu pada semua lapisan masyarakat. Saya percaya kisah-kisah ini dapat membina naratif kebangsaan, untuk mengenali jati diri, identiti dan kekuatan serta kelemahan di negara kita. 

 

Kita ada satu keindahan berkurun lamanya. Milik kita bersama. Negara dan Hikayat kita. 

 

Untuk dikongsi. Dihargai. Dicintai. 

 

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

 Yang indah itu Bahasa

 

--

Zalina Abdul Aziz @ ninotaziz
bzbee Consult

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags