Industri sawit rugi RM20 bilion disebabkan isu kekurangan tenaga buruh - Fadillah | DagangNews Skip to main content

Industri sawit rugi RM20 bilion disebabkan isu kekurangan tenaga buruh - Fadillah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 26 Jan - Industri sawit negara menanggung kerugian pendapatan mencecah RM20 bilion bagi tempoh 12 bulan tahun lepas ekoran isu kekurangan tenaga kerja yang menyebabkan produktiviti hasil kelapa sawit terjejas teruk.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi meningkatkan kembali produktiviti, dianggarkan seramai 63,000 tenaga kerja asing masih diperlukan dalam sektor agrikomoditi terutamanya dalam perladangan sawit, lapor Berita Harian.

 

Beliau berkata, bagi menyelesaikan isu tersebut, kerajaan bersetuju memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0.

 

"Di samping itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan dengan negara sumber bagi memastikan kemasukan pekerja asing ini dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya ketika berucap menyampaikan Amanat Tahun Baharu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di sini hari ini.

 

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, di sebalik unjuran kelembapan dan pertumbuhan ekonomi global yang rendah, agrikomoditi sebaliknya membuka ruang baru yang perlu direbut.

 

Katanya, permintaan hasil agrikomoditi ketika ini semakin meningkat naik dan harga pasaran dijangka kekal tinggi.

 

Jelas beliau, kemampuan untuk memanfaatkan peluang itu terletak kepada keupayaan negara untuk terus meningkatkan produktiviti bagi memenuhi permintaan pasaran dan memanfaatkan sepenuhnya harga tinggi di pasaran global itu.

 

 

fadillah
                                                  Datuk Seri Fadillah Yusof

 

 

Ini kerana terdapat juga cabaran lain yang dihadapi oleh industri agrikomoditi terutamanya sawit seperti usaha negara tertentu khususnya di benua Eropah yang cuba menyukarkan kemasukan minyak sawit negara, katanya.

 

"Bukan hanya sekadar dengan melancarkan kempen anti minyak sawit, kini pihak Kesatuan Eropah (EU) telah menggariskan undang-undang baharu iaitu European Union Deforestation Free Regulation (EUDR).

 

"EUDR boleh dikatakan satu bentuk sekatan perdagangan yang menghalang minyak sawit dari menembusi pasaran mereka," katanya.

 

Tambahnya, KPK akan mengatur langkah secara tersusun, teliti dan strategik bagi memperjuangkan hasil agrokomoditi Malaysia dapat menembusi pasaran antarabangsa secara adil serta saksama. - DagangNews.com