Inflasi diunjur berlegar di bawah paras 3% pada separuh kedua 2023 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Inflasi diunjur berlegar di bawah paras 3% pada separuh kedua 2023 - Maybank IB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - Maybank Investment Bank (IB) melihat masih ada ruang bagi Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) seterusnya, tetapi bergantung kepada situasi inflasi dan pertumbuhan negara.

 

Kelebihan utama kini adalah sejauh mana kesan daripada pembukaan semula ekonomi China dan kemampuan negara itu melangkah keluar daripada dasar sifar COVID-19 lebih pantas daripada jangkaan. 

 

Firma itu berkata, ia merupakan perkembangan utama yang boleh mengakibatkan potensi peningkatan kepada pertumbuhan dan inflasi berbanding tinjauan asas.

 

Pada masa sama, menurutnya, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan AS (Fed) pada 21 hingga 22 Mac 2023 juga penting memandangkan semakan seterusnya panduan mengenai kadar dana Fed, yang dijangka mencapai puncak pada musim bunga tahun ini.

 

"Walaupun BNM membuat keputusan menghentikan seketika kenaikan OPR, tetapi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menyatakan bahawa 'normalisasi lanjut kepada tahap dasar monetari akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan implikasinya prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri' dan 'MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan.

 

"Kami melihat dalam hal ini, pemberhentian sementara kenaikan OPR tidak bermakna berakhirnya kitaran kenaikan dengan OPR telah memuncak pada 2.75%," katanya dalam nota kajian.

 

Ini mendorong Maybank IB menyemak semula unjuran kenaikan OPR tahun ini kepada 2.75 hingga 3% berbanding sebelum ini, 3% kerana tidak menjangkakan peningkatan lagi 25 mata asas.

 

Khamis lalu, BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75%  selepas empat kenaikan secara berturut-turut sepanjang tahun lalu, daripada paras terendah 1.75%.

 

Berikutan pengekalan itu, jajaran kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dikekalkan masing-masing kepada 3% dan 2.5%.

 

Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis meramalkan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu kenaikan 25 mata asas lagi.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB buat masa ini mengekalkan unjuran inflasi bagi 2023 pada 3%  manakala 2.5% pada 2024.

 

Namun, katanya, unjuran itu dibuat dengan menjangkakan tiada perubahan terhadap rasionalisasi subsidi bahan api. 

 

"Meskipun inflasi utama mereda kepada 3.8% pada Disember 2022 apabila inflasi makanan menyederhana kepada 6.8%. Tetapi, kami dapati inflasi teras masih lagi tinggi sekitar 4.1% pada bulan tersebut.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan inflasi secara bulanan akan mulai menurun di bawah paras 3% pada separuh kedua 2023," jelasnya. -DagangNews.com