Inflasi makanan akan mereda mulai suku pertama 2023, ramal penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Inflasi makanan akan mereda mulai suku pertama 2023, ramal penganalisis ekonomi

Inflasi pada Disember 2022 menurun kepada 3.8%.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Inflasi utama diunjur lebih menyederhana tahun ini terutamanya didorong pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengurangkan harga makanan import.

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menunjukkan inflasi Malaysia mereda kepada 3.8% pada Disember 2022 dengan mata indeks mencatatkan 129.2 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Kenaikan perlahan kumpulan makanan & minuman bukan alkohol kepada 6.8% berbanding 7.3% pada bulan sebelumnya telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara. 

 

Ia menyaksikan inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3% berbanding 2.5% yang dicatatkan pada 2021. 

 

MIDF Research mengunjurkan inflasi utama akan berlegar pada purata 2.3% tahun ini sekiranya kerajaan mengekalkan mekanisme subsidi bahan api semasa.

 

Menurutnya, dalam persekitaran harga komoditi global yang meningkat, rantaian bekalan global yang ketat dan permintaan domestik bertambah baik, inflasi keseluruhan mencapai 3.3% untuk 2022, tertinggi dalam tempoh lima tahun.

 

Firma itu menjangkakan inflasi makanan di Malaysia akan terus menurun berikutan penurunan harga komoditi global terutama harga berkaitan pertanian dan rantaian bekalan yang bertambah baik di peringkat serantau dan domestik.

 

"Dengan tumpuan kerajaan untuk menyelesaikan isu kos sara hidup, kami percaya inflasi makanan akan mula berkurangan suku pertama 2023 di tengah-tengah campur tangan kerajaan ke atas harga makanan terpilih.

 

"Di samping itu, ringgit semakin mengukuh kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi isyarat untuk kadar kenaikan kadar yang lebih perlahan pada Disember 2022.

 

"Ini seterusnya menyokong pengurangan tekanan inflasi import kerana Malaysia adalah pengimport makanan bersih untuk kebanyakan produk makanan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan
Pada Disember 2022, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menurun kepada 6.8% berbanding 7.3% pada bulan sebelumnya. - Gambar hiasan : Facebook Fama Kelantan.

 

 

Baca : Kadar inflasi Malaysia pada Disember menurun kepada 3.8% - DOSM 

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research mengunjurkan inflasi utama berlegar pada 3% tahun ini berdasarkan kepada tekanan inflasi yang semakin mereda pada Disember 2022.

 

Penurunan itu, katanya, sebahagiannya mencerminkan ringgit, yang telah mengukuh 9.7% berbanding dolar AS daripada paras rendah RM4.75 yang dilihat pada November 2022.

 

Pada masa sama, katanya, harga komoditi yang lebih rendah turut membantu dalam membendung tekanan harga utama.   

 

Inflasi teras pula dijangka menurun seiring dengan kadar penggunaan swasta yang lebih perlahan dijangka dalam tempoh yang sama.

 

Tetapi, risiko inflasi teras lebih cenderung meningkat memandangkan penggunaan swasta kekal kukuh berdasarkan jualan perdagangan pengedaran yang lebih tinggi pada separuh kedua 2022.

 

"Tambahan pula, pasaran buruh di Malaysia agak ketat pada pandangan kami berdasarkan potensi pertumbuhan guna tenaga. 

 

"Namun begitu, pandangan kami terhadap inflasi akan berubah sekiranya kerajaan melaksanakan subsidi bersasar. Berdasarkan analisis kami, setiap kenaikan satu sen RON95 akan meningkatkan indeks harga pengguna sebanyak 0.04%.

 

"Selain itu, masalah banjir dan bencana alam juga boleh menjejaskan logistik dan harga makanan manakala kelemahan ringgit di luar jangkaan akan meningkatkan harga makanan import," katanya. -DagangNews.com