Inflasi teras masih tinggi, Citi Research unjur 3 kenaikan OPR tahun ini | DagangNews Skip to main content

Inflasi teras masih tinggi, Citi Research unjur 3 kenaikan OPR tahun ini

Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 25 Jan - Institusi penyelidikan dan pakar ekonomi percaya langkah mengejut Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghentikan seketika kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) adalah bersifat sementara dan perlu diperketatkan semula pada bulan-bulan mendatang.

 

Citi Research memberi amaran pemberhentian tersebut hanyalah penangguhan sementara.

 

“Dengan inflasi teras yang dilihat masih meningkat dan risiko yang menaik secara positif,  kami menjangkakan sekurang-kurangnya kenaikan 25 mata asas (bps) pada Mac dan 25 bps lagi pada Mei, dengan kemungkinan untuk kenaikan selanjutnya pada separuh kedua tahun ini,” katanya dalam nota kajian.

 

BNM menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama untuk tahun ini telah mengambil keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75%, bertentangan dengan jangkaan pasaran iaitu kenaikan kadar 25 bps kepada 3%.

 

Di peringkat global, Citi juga melihat ‘kemelesetan peringkat negara yang bergolak’, dengan inflasi yang tinggi dan dasar kewangan yang ketat berkemungkinan membelenggu prospek memandangkan cabaran geopolitik masih berterusan.

 

Dalam pada itu, Public Investment Bank dan CGS-CIMB Research juga sependapat dengan ramalan tersebut.

 

Public Investment Bank menjangkakan kenaikan OPR sebanyak 25 bps kepada 3% pada separuh kedua tahun ini tetapi hal ini bergantung kepada langkah dasar domestik seperti subsidi bahan api bersasar dan kawalan harga yang mungkin akan diperkenalkan serta perkembangan harga komoditi global.

 

“BNM telah menekankan terdapat risiko penurunan yang ketara di mana anjakan daripada pertumbuhan global yang perlahan mungkin akan berlaku.

 

“Kami menjangkakan sebarang perubahan terhadap OPR akan bergantung kepada prestasi ekonomi domestik,” jelasnya,

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research pula berkata, BNM menekankan bahawa kenaikan kadar faedah ‘belum selesai’ dan keputusan untuk menghentikan sementara kenaikan itu adalah untuk ‘menilai kesan kumulatif pelarasan OPR yang lalu’.

 

“Kami melihat ini sebagai pandangan berhati-hati oleh BNM pada masa akan datang, dengan memberi perhatian kepada hala tuju dasar monetari yang masih meningkat tetapi kenaikan kadar faedah dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini.

 

“Pada pendapat kami, terdapat ketidaktentuan memandangkan bank pusat seluruh dunia berpendirian ‘dovish’, pengumuman Bajet 2023 pada Februari nanti dan juga pembukaan semula China baru-baru ini, di mana BNM mahu timbang-tara sebelum keputusan seterusnya,” tambahnya.

 

CGS-CIMB Research berkata Bajet 2023 mungkin tidak memberikan penjelasan dari segi keputusan berkaitan dengan cukai dan subsidi baharu memandangkan kerajaan mungkin menangguhkan pengumuman negatif sehingga pilihan raya negeri pertengahan tahun ini. – DagangNews.com