IPO Sunview terlebih langgan 63.19 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Sunview terlebih langgan 63.19 kali

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Okt - Tawaran awam permulaan (IPO) Sunview Group Bhd. bagi orang ramai telah terlebih langgan sebanyak 63.19 kali, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang 17 Oktober ini menyaksikan terbitan 118 juta saham baharu, mewakili 25.21% saham terbitan yang diperbesarkan dalam Sunview pada harga terbitan 29 sen sesaham.

 

Sebanyak 13,240 permohonan untuk 1,514,979,300 saham baharu diterima daripada orang awam Malaysia, dengan kadar terlebih langganan 63.19 kali.

 

Sementara itu, sebanyak 7,116 permohonan untuk 600,238,500 saham baharu diterima di bawah kategori bumiputera, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 49.87 kali manakala 6,124 permohonan untuk 914,740,800 saham baharu diterima di bawah kategori awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 76.5 kali.

 

Sejumlah 9 juta saham baharu untuk pengarah, kakitangan dan individu yang layak dan menyumbang kepada kejayaan syarikat pula telah habis dilanggan sepenuhnya.

 

Ejen Penempatan juga mengesahkan bahawa 85.4 juta saham baharu yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah ditempatkan sepenuhnya.

 

Alliance Islamic Bank Bhd. adalah penasihat utama, penaja, pengurus tunggal dan ejen penempatan bagi langkah IPO tersebut.

 

Notis peruntukan akan dihantar melalui pos kepada pemohon yang berjaya pada atau selepas 14 Oktober 2022.

 

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, kumpulan menyasarkan untuk mengumpul RM34.22 juta daripada IPO berkenaan dengan RM20.1 juta atau 58.72% daripada hasil itu akan digunakan untuk membiayai keperluan modal kerja syarikat.

 

Selebihnya sebanyak RM7 juta atau 20.46% akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM1.86 juta atau 5.42% sebagai perbelanjaan modal.

 

Sebanyak RM1.67 juta atau 4.88% lagi akan digunakan untuk pengembangan perniagaan manakala baki RM3.6 juta atau 10.52% akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Selepas disenaraikan, syarikat akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM135.72 juta berdasarkan modal saham yang diperbesarkan berjumlah 468 juta saham. - DagangNews.com