Istanbul, kota indah dipacu industri pelancongan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 7 November 2022

ISTANBUL, KOTA INDAH DIPACU INDUSTRI PELANCONGAN

Oleh NINOT AZIZ

 

 

 

ISTANBUL merupakan sebuah bandar yang mengilhamkan seribu pengalaman unik industri pelancongan.

 

Memang Istanbul terkenal kerana adanya Masjid Hagia Sophia, Istana Topkapi dan sejarahnya sebagai pusat pemerintahan Uthmaniyah - namun warga Istanbul sendiri yang memastikan bandar itu kekal dengan daya tarikannya.

 

Di sebalik kejayaan industri pelancongan Istanbul adalah kesedaran mendalam warga kota itu bahawa pelancongan itu adalah industri paling utama Istanbul - dan kekuatan tradisi, budaya dan gaya hidup warga kota itu kebanggaan mereka.

 

Di sini, solat dan makanan halal tidak menjadi masalah, malah di lapangan terbang dan pusat beli-belah, surau begitu cantik, bersih dan penuh ketenangan disediakan.

 

Selain dari pelbagai muzium dan masjid indah di Istanbul, Grand Bazaar, Spice Bazaar, kafe di jalan raya kecil sekitar Istanbul dan laluan Bosphorus serta Laut Marmara kesemuanya menjanjikan seribu kenangan.

 

Berdiri dalam tram dan Metro Istanbul, saya dapat mendengar pelbagai bahasa dipertuturkan pelawat ke sini – antara lain, Bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Jerman dan Korea.

 

 

hikayat

 

 

Selamat datang ke Çeşme Bazlama Kahval, budaya sarapan Turkiye

Satu contoh bagaimana warga Istanbul memperkenalkan kota Istanbul - Saya berpeluang ke kafe Çeşme Bazlama Kahval untuk sarapan pagi.

 

Apabila masuk saja, suasana kafe begitu ceria dengan bunga bougainvilla di luar dan dalam menyerikan suasana. Terdapat nota penghargaan dari seluruh dunia tentang layanan mesra di kafe ini.

 

Pelayan kami, Sefa berumur 17 tahun tetapi begitu  bangga dan yakin menghidangkan segala juadah sarapan pagi. Dia memperkenalkan roti, jam, pelbagai keju, salad dan hidangan teh. 


 

sefa
Menerima tambahan cha daripada Sifa.


 

Layanannya begitu mesra dan mungkin baginya, ini sesuatu yang dilakukan setiap hari. Namun, bagi pengunjung seperti saya, ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

 

Chef dan tuan punya kafe juga keluar bertanyakan pengalaman sarapan pagi. Sempat saya lihat, ini dilakukan pada setiap tetamu di kafe tersebut.

 

Apabila meninggalkan kafe, staf Bazlama juga menjemput saya dan Ninu, kenalan rapat yang kini di Turkiye ke Bazlama Market di tingkat bawah di mana jem Bazlama dihasilkan. Ada jem rasberi, apple, strawberi dan juga marmalad dijual.

 

Semuanya segar dan akan terjual dalam beberapa hari. Cara roti disiapkan dan dibakar juga ditunjukkan di sini. Senyuman manis pembuat roti saya semadikan di foto.

 

 

hikayat

 

hikayat


 

Warga Istanbul Tersohor

Sebenarnya,  peranan media dan pengkarya kreatif amat penting dalam mempromosikan sesebuah negara atau destinasi.

 

Pelawat serta pelancong, dan juga mereka yang menganjurkan acara antarabangsa memerlukan inti pati untuk jatuh cinta dan memilih sesebuah destinasi.

 

Orhan Pamuk sebagai warga Istanbul yang telah memenangi Anugerah Hadiah Nobel dałam Kesusasteraan pada tahun 2006 memainkan peranan penting menceritakan keindahan bandar raya yang dicintainya itu.

 

Beliau digelar penulis pasca modernis Turkiye di mana karyanya tersebar ke seluruh dunia dan diterjemah ke 40 bahasa.

 

Saya mula mengenali karya Orhan Pamuk melalui novel Benim Adım Kırmızı (My Name Is Red) pada tahun Pamuk memenangi Hadiah Nobel.


 

hikayat

 


Novel yang berlatarbelakangkan Kerajaan Uthmaniyah abad ke-16 era SultanMurat III begitu mengasyikkan dan saya terduduk membacanya selama 6 jam tidak berhenti sehingga habis.

 

Ia satu misteri dari sudut pandangan 4 perwatakan - keindahan dan kekayaan zaman Uthmaniyah waktu itu digambarkan dengan begitu jelas dan terperinci. Novel ini diterjemah kepada 24 bahasa dan bagi saya, di sinilah terdetik impian ingin ke Istanbul.

 

Novel lain Orhan Pamuk semuanya begitu teliti menceritakan tentang kisah hidup komuniti pelbagai lapisan masyarakat di Istanbul.

 

Sebelum ini saya ada menceritakan bagaimana Museum of Innocence hasil imaginasi Orhan Pamuk menjadi tarikan pelancong seperti saya yang tidak melepaskan peluang melawati muzium tersebut.

 

Jati diri budaya

Budaya dan ilmu tidak lari jauh, jika tinggi budaya sesebuah tamadun, maka tinggilah ilmu dan kepakaran tamadun itu. Maka tidak salah kalau kita katakan sesebuah bangsa itu memerlukan seni dan budaya untuk membentuk tamadun.

 

Robot pertama di dunia dicipta oleh Ibnu Ismail Al-Jazari, seorang jurutera mekanikal era Kesultanan Turkiye dari Dinasti Artuqid. Dari abad ke-12 lagi Al-Jazari digelar "Bapa Robotika".


 

Ibnu Ismail Al-Jazari

 


Kisah Menara Galata juga begitu menarik. Di waktu pemerintahan Uthmaniyah, seorang bernama Hezarfen terbang memakai sesayap dari atas Menara Galata ke Uskudar, melintas seluruh Bosphorus. Inilah yang dikatakan jati diri bangsa Turkiye (yang sebenarnya berbilang kaum).

 

Di Istanbul, kesemua pusat tarikan dikelolakan rata-ratanya oleh warga Turkiye. Tiada pekerja asing, mungkin kerana itulah mereka begitu bangga memperagakan kota mereka.

 

Restoran dan bisnes kecil di sini telah wujud berdekad lamanya, masing-masing begitu bangga dengan tradisi famili dalam mengelolakan bisnes – ini sesuatu kebanggaan gaya hidup dan bukan sahaja kegiatan ekonomi bagi mereka.

 

Dari sudut gastronomi sahaja ada pelbagai pakej pelancongan di Istanbul – Street Food, Food &N Culture Tour, Cross Continental Food Tour, Istanbul Dining by Night dan bermacam-macam lagi.

 

Daerah Beyoğlu penuh dengan restoran Turkiye, Anatolia dan pelbagai masakan Mediteranien ada yang mendapat pengiktirafan Michelin sepeti restoran Mikla dan Neolokal.


 

hikayat

 


Dari restoran kita beralih pula pada industri perfileman. Novel Museum of Innocence Orhan Pamuk ada mengisahkan industri perfileman Turkiye. Industri ini telah ujud lebih 100 tahun di Turkiye melalui era gemilang 1950-an dan 1970-an.

 

Ia dikenali sebagai Zaman Yeşilçam yang merupakan sebuah jalan di daerah Beyoğlu, di mana ramai pelakon, pengarah dan syarikat filem tertumpu. Bagi warga Turkiye, mereka bangga  industri itu menjadi salah satu yang terbesar di dunia.

 

Selepas merudum beberapa lama, kini terdapat kebangkitan mendadak dalam populariti filem dan drama TV seperti di Netlix. 

 

Dahulu, jalan penceritaan yang perlahan, aksi dan dialog yang minimum, tertumpu kepada keindahan serta pencahayaan semula jadi menjadi lumrah penataan filem Turkiye.

 

Protagonis selalunya orang biasa yang berurusan dengan rutin harian. Tema termasuk nostalgia untuk tanah air atau masa lalu,.

 

Kini terdapat drama epik sejarah seperti Ertugrul Dirilis dan Kurulus Osman yang begitu tersohor serata dunia.


 

Ertugrul Dirilis

 


Pertalian antara Turkiye dan Malaysia

Kenapa pula saya timbulkan kemegahan industri pelancongan Turkiye? Selama beratus tahun, Istanbul dan dunia Uthmaniyah itu begitu dekat dengan Dunia Melayu. Malaysia juga sememangnya mempunyai talian rapat dengan Turkiye.

 

Pada tahun 1886, contohnya, Sultan Johor telah diiktiraf oleh kerajaan Uthmaniyah dengan gelaran Sultan. Baginda memakai gelaran Sultan Abu Bakar Al Khalil Ibrahim Shah dan bernikah dengan Khadijah Hanum, Rukayah Hanum adindanya pula bernikah dengan adinda Sultan iaitu Engku Majid bin Temenggong Ibrahim berketurunan Kaukasia di Utara Turkiye, kini dipanggil Georgia, Rusia.

 

Allahyarham Prof Ungku Aziz  yang juga kerabat diraja Johor berketurunan Turkiye melalui ayahandanya.

 

Hubungan Kerajaan Johor dengan Kerajaan Uthmaniyyah begitu rapat hinggalah tahun 1922, di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim apabila Turkiye diisytiharkan republik.  

 

Hubungan Malaysia dan Turkiye kekal mesra hingga hari ini dari sudut dagangan dan kepentingan lain seperti Pendidikan dan Industri. Malah sebuah lapangan terbang utama di Turkiye dikendalikan Malaysia Airports Holdings Berhad.

 

 

Sabiha Gökçen International Airport (ISG)
Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (ISG) yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad.

 

 

Kedudukan Turkiye di sempadan dunia timur dan barat membuatkan Istanbul  di posisi unik antara dua benua. Ini juga merupakan posisi unik Semenanjung Malaysia yang telah menjadi laluan Timur dan Barat Asia lebih 2 milenium.

 

Pertembungan budaya di Turkiye dan Malaysia ini memberikan kedua-dua negara seribu kelebihan dalam menyemarakkan nama negara.

 

Namun yang paling penting, hargai budaya asal, tradisi dan adab lama, dan kekalkan adab bersopan santun menyambut tetamu ke negara kita.

 

(P/S CONTOH ADAB YANG PERLU DIJAGA - Janganlah biarkan staf bercerita segala hal keluarga dengan nada tinggi dan bermain telefon semasa pelancong dan pelawat ke kedai atau pusat pelancongan kita.)

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

hikayat

 

Portfolio Tags