Jumlah penganggur terus menurun dengan kadar pengangguran kekal 3.7% pada Ogos - DoSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah penganggur terus menurun dengan kadar pengangguran kekal 3.7% pada Ogos - DoSM

KUALA LUMPUR 11 Okt - Kadar pengangguran pada Ogos kekal pada 3.7% dengan bilangan penganggur berkurangan kepada 612,000 orang berbanding 620,700 pada bulan sebelumnya.

 

Sebaliknya, dalam terma pelarasan bermusim, bilangan penganggur meningkat sebanyak 0.5% dengan kadar pengangguran bagi anggaran pelarasan bermusim kekal pada 3.6%.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi ekonomi Malaysia dilihat terus bertambah baik, dicerminkan oleh indikator ekonomi yang menunjukkan pertumbuhan positif, seperti indikator perdagangan luar negeri, yang merekodkan peningkatan ketara pada Ogos 2022 berbanding tahun sebelumnya. 

 

Katanya, Indeks Pelopor (IP) yang menjangkakan hala tuju ekonomi bagi empat hingga enam bulan akan datang, juga kekal stabil. 

 

"Sehubungan itu, prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal optimistik pada masa hadapan berdasarkan indeks arah aliran jangka panjang terlicin yang terus melepasi 100.0 mata. 

 

"Selaras dengan kedudukan ekonomi yang semakin baik ini, pasaran buruh juga dijangka terus berkembang pada bulan-bulan ke hadapan.

 

"Ini ditambah dengan kemasukan tenaga buruh baharu ke dalam pasaran buruh serta kemasukan tenaga buruh asing ke dalam negara dalam masa yang terdekat, yang mana ia dijangka dapat menampung keperluan tenaga buruh yang semakin meningkat dalam pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada bulan tersebut, penduduk bekerja kekal stabil dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2% kepada 16.02 juta orang berbanding 15.98 juta pada Julai 2022.

 

Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat sebanyak 0.1 mata peratus merekodkan 67.1% pada Ogos berbanding Julai 2022 (67.0%).

 

Bilangan tenaga buruh terus kukuh dengan peningkatan sebanyak 0.2% kepada 16.63 juta orang berbanding 16.6 juga pada Julai 2022.

 

Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) terus meningkat sebanyak 0.1 mata peratus, mencatatkan 69.7%. - DagangNews.com