Kadar faedah, inflasi jejas kuasa beli pengguna membelenggu pemaju hartanah – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kadar faedah, inflasi jejas kuasa beli pengguna membelenggu pemaju hartanah – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pemaju hartanah terus dibelenggu oleh bekalan berlebihan serta kemerosotan kemampuan harga berikutan kenaikan kadar faedah dan inflasi menjejas kuasa perbelanjaan pengguna, kata Kenanga Research yang kekal ‘neutral’ terhadap sektor hartanah.

 

Menurut firma itu, kewangan sektor hartanah bagi suku keempat tahun lalu bagi saham liputannya merosot sedikit berbanding suku sebelumnya, walaupun tidak membimbangkan.

 

Selain prospek sektor dilihat sukar tahun ini, firma itu berkata, margin pemaju berkemungkinan turut menyusut disebabkan beban kontrak yang diperoleh ketika pandemik.

 

“Walaupun jualan yang dicatatkan oleh pemaju pada tahun lalu sihat, mereka akan menghadapi cabaran besar tahun ini disebabkan pemain industri merasai beban kontrak yang ditandatangani pada harga tinggi dalam tahun 2021 hingga 2022 ketika pandemik, di mana harga bahan binaan tinggi dan kekurangan buruh,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemain industri mungkin perlu mengurangkan atau menghentikan sementara pelancaran baharu disebabkan terdapat ruang terhad untuk kenaikan harga hartanah ekoran kemampuan harga yang merosot dan inflasi kos pembinaan tidak berhenti.

 

“Hasil kewangan pemaju hartanah pada suku keempat tahun lalu mencatatkan kemerosotan berurutan dengan 14% di atas, 71% sejajar dan 14% di bawah ramalan kami berbanding masing-masing pada 29%, 57% dan 14% suku sebelumnya tetapi dianggap tidak membimbangkan,” katanya.

 

Hanya Sime Darby Property Berhad mengatasi ramalan firma berikutan pengebilan berkurang dan margin tinggi pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22), manakala SP Setia Berhad satu-satunya syarikat kurang daripada ramalan disebabkan pendapatan pembangunan di Australia adalah lebih rendah daripada jangkaan, katanya.

 

Pembukaan semula ekonomi telah memacu jualan kesemua syarikat luar jangkaan firma tersebut pada tahun lalu, didorong oleh kadar kelulusan pinjaman bertambah baik.

 

“Malahan, Sime Darby Property mengatasi jangkaan kami dengan pelancaran produk pada harga yang sesuai dalam perbandaran matang mereka ditambah dengan penggunaan pelbagai inisiatif pemasaran cekap,” menurut firma itu.

 

Pemaju hartanah pilihan firma itu adalah Eco World Development Group Berhad dengan harga sasaran (TP) 83 sen dan IOI Properties Group Berhad pada TP RM1.60 bersandarkan kemampuan menjana jualan dan mengekalkan aliran tunai untuk dividen yang baik walaupun pasaran lemah. -DagangNews.com