Kadar inflasi Malaysia pada Disember menurun kepada 3.8% - DOSM  | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi Malaysia pada Disember menurun kepada 3.8% - DOSM 

Inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3% berbanding 2.5% yang dicatatkan pada 2021. - Gambar : Facebook Fama Kelantan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Inflasi Malaysia mereda kepada 3.8% pada Disember 2022 dengan mata indeks mencatatkan 129.2 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Kenaikan perlahan kumpulan makanan & minuman bukan alkohol kepada 6.8% berbanding 7.3% pada bulan sebelumnya telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara. 

 

Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.7%) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022. 

 

Namun begitu, restoran & hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4% berbanding November 2022 (7%).

 

Pada Disember 2022, kebanyakan subkumpulan makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022.

 

Subkumpulan daging mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 7.8% pada Disember 2022 diikuti oleh susu, keju & telur (7.1%) dan beras, roti & bijirin lain (7%). 

 

Gula, jem, madu & manisan dan buah-buahan masing-masing meningkat 4.1% peratus dan 4% manakala subkumpulan minyak & lemak menyederhana kepada 1%.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3% berbanding 2.5% yang dicatatkan pada 2021. 

 

"Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi pada Disember 2022 meningkat kepada 0.2% berbanding 0.3% pada November 2022. 

 

"Sementara itu, inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk item makanan segar yang harganya tidak menentu serta barangan kawalan oleh kerajaan telah mencatatkan peningkatan 4.1% pada Disember 2022 (November 2022: 4.2%)," katanya.

 

Menurutnya, data pada bulan tersebut menunjukkan empat negeri mencatat peningkatan inflasi melebihi paras nasional 3.8% iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9%), Selangor (4.5%), Sarawak (4.1%) dan Johor (3.9%). Namun begitu, Kedah merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.2%.

 

"Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding dengan beberapa negara terpilih, iaitu Kawasan Euro (9.2%), Filipina (8.1%), Amerika Syarikat (6.5%), Thailand (5.9%), Indonesia (5.5%) dan Republik Korea (5%)," jelasnya. - DagangNews.com