Kehadiran semula pelancong China akan menyumbang secara sederhana kepada ekonomi Malaysia pada 2023 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kehadiran semula pelancong China akan menyumbang secara sederhana kepada ekonomi Malaysia pada 2023 - Maybank IB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan kehadiran semula pelancong China akan menyumbang secara sederhana kepada ekonomi negara bagi 2023.

 

Katanya, pemulihan kehadiran pelancong China sehingga lewat 2022 adalah lebih pantas di Indonesia (14% daripada pra pandemik) diikuti Malaysia (11%), dan lebih perlahan di Vietnam (3%) dan Thailand (5%). 

 

"Di Malaysia, hanya Sabah memerlukan ujian pra pelepasan manakala Indonesia, Singapura dan Filipina hanya memerlukan bukti vaksinasi untuk semua ketibaan manakala Vietnam tidak mempunyai sekatan untuk semua ketibaan. Thailand hanya memerlukan insurans COVID-19 sahaja.

 

"Secara keseluruhannya ASEAN mengelakkan peraturan yang tegas untuk pelancong China dan mereka akan lebih cenderung untuk mengelakkan diri daripada ke negara yang mengenakan peraturan ketat seperti Korea Selatan, Jepun dan China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, firma itu menjangkakan kehadiran semula pelancong China akan melonjakkan sektor hospitaliti, peruncitan dan penerbangan selain mengimbangi penurunan dalam segmen pembuatan serta eksport dalam kalangan negara ASEAN-6 (Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina).

 

Firma itu berkata, sebelum penularan wabak COVID-19, pelancong China adalah sumber terbesar negara ASEAN-6 yang menyumbang kira-kira AS$32.4 bilion (RM137.60 bilion) pada 2019.

 

Katanya, pada November 2022 sebelum pembukaan semula, kehadiran pelancong China di negara-negara ASEAN-6 adalah sekitar 126,000 orang atau 5.6% daripada paras pra pandemik.

 

"Bagaimanapun, kami mengunjurkan peningkatan 12x berbanding 2022 dan menjelang Disember 2023, kami menjangkakan pelancong China akan mencapai paras 71% daripada paras pra pandemik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Thailand akan menjadi penerima manfaat terbesar kerana kehadiran pelancong China menyumbang 28% daripada jumlah pelacong asing negara itu dan merupakan penyumbang 3.1% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu.

 

Vietnam pula katanya akan menjadi penerima manfaat kedua terbesar dengan 31% kehadiran pelancong adalah dari China dan menyumbang 1.4% daripada KDNK negara itu.

 

Firma itu juga meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK China kepada 5% pada 2023 memandangkan pembukaan semula yang lebih pantas daripada jangkaan.

 

Katanya, ekonomi ASEAN akan lebih sensitif kepada pemulihan KDNK China termasuk Singapura, Vietnam, Malaysia dan Thailand.

 

"Pembukaan semula China meningkatkan kemungkinan tidak berlakunya kemelesetan ekonomi di ASEAN seperti Amerika Syarikat dan Eropah," katanya. - DagangNews.com