Kehadiran tenaga kerja baharu akan percepat kemajuan projek Kerjaya Prospek - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Kehadiran tenaga kerja baharu akan percepat kemajuan projek Kerjaya Prospek - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Kehadiran tenaga kerja baharu akan membantu mempercepatkan kemajuan pembinaan Kerjaya Prospek Group Berhad selain mempersiapkan kumpulan itu bagi mendapatkan lebih banyak projek baharu.

 

RHB Research berkata, kumpulan itu berjaya menerima kelulusan 1,500 pekerja asing pada 3QFY22, hampir 700 pekerja tiba antara Oktober 2022 dan Februari 2023 manakala baki selebihnya dijangka tiba pada Mac 2023.

 

Sebagai tambahan, kumpulan itu juga menerima kelulusan untuk membawa masuk lagi 1,000 pekerja asing yang mungkin akan masuk pada Mei atau Jun 2023 menjadikan jumlah keseluran kepada 4,000 pekerja.

 

"Walaupun ia bekerjasama dengan Samsung C&T untuk membida pekerjaan industri yang canggih dalam industri teknologi seperti pusat data, KPG juga mengintai pekerjaan hartanah industri lain seperti gudang.

 

"Sehingga kini, ia telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM464 juta pada FY23, membentuk 35.7% daripada andaian penambahan kerja sebanyak RM1.3 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak 18.7% kepada RM115 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2022 (FY22) berbanding RM96.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Perolehan kumpulan meningkat kepada RM1.12 bilion daripada RM977 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam kemajuan aktiviti kerja pembinaan dan peningkatan tenaga kerja dengan kemasukan pekerja asing.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.44 sesaham.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu akan berdepan beberapa risiko termasuk pasaran hartanah akan menjadi lebih perlahan, harga bahan mentah lebih tinggi dan kemenangan kontrak yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com