Kenanga Research positif terhadap kejayaan Uzma raih kontrak baharu | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap kejayaan Uzma raih kontrak baharu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Kenanga Research positif terhadap kejayaan Uzma Berhad meraih kontrak baharu bernilai RM40 juta dan ia mencerminkan kemampuan kumpulan itu untuk terus meraih projek dalam perkhidmatan brownfield meskipun dalam keadaan harga minyak mentah tidak menentu.

 

Firma itu berkata, kontrak itu kecil dan hanya menyumbang sekitar 2% penambahan kontrak semasa. 

 

"Kami menjangkakan projek baharu itu akan memberikan margin keuntungan antara 40% hingga 45% selaras dengan purata keuntungan sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Malaysian Energy Chemicals and Services Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM40 juta daripada Sarawak Shell Berhad.

 

Penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas itu menjelaskan kontrak itu membabitkan pembekalan perencat hidrat kinetik, perencat pengakisan dan perkhidmatan berkaitan untuk medan gas Timi Shell.

 

Tempoh kontrak itu adalah lima tahun berkuat kuasa 20 Januari 2023 hingga 19 Januari 2028.

 

BACA JUGA: Uzma raih kontrak RM40 juta daripada Sarawak Shell

 

Firma itu terus menyukai kumpulan itu kerana menjadi penerima manfaat daripada peningkatan aktiviti brownfield, penyediaan pelbagai perkhidmatan seperti peningkatan dan mengoptimumkan pengeluaran, serta operasi dan penyelenggaraan lewat hayat.

 

Selain itu, firma itu percaya adalah penting bagi syarikat untuk berjaya merealisasikan kadar tempahan yang sihat untuk memenuhi jangkaan pertumbuhan keuntungan untuk berfungsi sebagai satu lagi pemangkin penarafan semula.

 

"Kami menyemak turun penarafan kumpulan kepada Market Perform dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 67 sen," katanya. - DagangNews.com