Kekayaan ekonomi Malaysia pada 2021 meningkat kepada RM3.28 trilion | DagangNews Skip to main content

Kekayaan ekonomi Malaysia pada 2021 meningkat kepada RM3.28 trilion

KUALA LUMPUR 6 Okt - Stok Modal Bersih (SMB), yang mencerminkan kekayaan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak RM57 bilion kepada RM3.28 trilion pada 2021 berbanding RM3.22 trilion tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Pertumbuhan itu disokong oleh sektor perkhidmatan sebanyak 68.2% daripada keseluruhan aktiviti ekonomi dengan nilai RM2.24 trilion.

 

Ini diikuti oleh sektor perlombongan dan kuari yang menyumbang 17% dan sektor pembuatan sebanyak 
11.7 %.

 

"SMB untuk sektor perkhidmatan disokong oleh aktiviti kewangan, insurans, hartanah & perkhidmatan perniagaan dengan sumbangan sebanyak 31.7% manakala pengangkutan & penyimpanan serta maklumat & komunikasi (19.8%).

 

"Selain itu, perkhidmatan lain yang terdiri daripada perkhidmatan kerajaan, pendidikan swasta, kesihatan swasta & perkhidmatan swasta lain (31.3%)," katanya dalam laporan Perangkaan Stok Modal 2021 hari ini.

 

SMB untuk sektor pembuatan sebahagian besarnya disumbangkan oleh petroleum, kimia, getah dan produk plastik dengan sumbangan meningkat sebanyak 36.1% diikuti produk elektrik, elektronik dan optikal (33.3) dan penyumbang ketiga terbesar ialah makanan, minuman dan produk tembakau dengan 10.5%.

 

Dari segi jenis aset, struktur kekal sebagai penyumbang utama kepada SMB sebanyak 80.7% dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.5%, jentera & peralatan merupakan penyumbang kedua terbesar dengan 11% dan aset lain menyumbang 8.3% daripada jumlah aset. - DagangNews.com