Kelington bakal raih manfaat daripada kerancakan projek baharu fabrikasi semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Kelington bakal raih manfaat daripada kerancakan projek baharu fabrikasi semikonduktor

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Okt - Kelington Group Bhd. dijangka meraih manfaat daripada projek fabrikasi semikonduktor yang menyaksikan rantau Asia Tenggara merekodkan pelaburan lebih tinggi pada 2023.

 

Hong Long Investment Bank (HLIB) Research berkata, SEMI mengunjurkan perbelanjaan peralatan fabrikasi global akan meningkat 9% tahun ke tahun pada 2022 kepada AS$99 bilion.

 

Menurutnya, di sebalik pertumbuhan negatif 2% kepada AS$97 bilion pada tahun hadapan, Asia Tenggara dijangka merekodkan pelaburan yang tinggi, ditambah dengan prospek memberangsangkan daripada strategi 'China+1'.

 

Katanya, strategi itu mendorong pemain semikonduktor mencari hab pengeluaran alternatif di luar China, mendorong aliran masuk asing (FDI) yang kukuh ke Malaysia dan Singapura, memandangkan ekosistem semikonduktor yang mantap di ASEAN.

 

"Oleh itu, kami percaya Kelington akan menerima manfaat daripada projek fabrikasi yang diumumkan sepanjang tahun ini.

 

"Antaranya, termasuk kemudahan fabrikasi baharu Semiconductor Manufacturing International Corp. (SMIC) di Tianjuan, China; kemudahan fabrikasi baharu United Microelectronics Corp. (UMC) di Singapura dan usaha sama antara Dagang Nexchange Bhd. (DNex) dan Foxconn di Malaysia," katanya dalam nota kajian.

 

Kumpulan setakat ini mempunyai kontrak sejumlah RM1.28 bilion, hampir mencecah paras bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) sebanyak RM1.19 bilion dengan tender semasa berjumlah RM1.5 bilion.

 

Sementara itu, nilai kontrak dalam tangan masih kekal tinggi sebanyak RM1.9 bilion, mencerminkan liputan 3.67 kali, berikutan pelaburan dalam fabrikasi wafer yang kukuh.

 

Bagaimanapun, di sebalik prospek pelaburan yang positif di Asia Tenggara, HLIB mengambil langkah berhati-hati dengan ketidaktentuan pasaran semasa. 

 

Ini mendorongnya membuat unjuran yang lebih konservatif terhadap anggaran perolehan bagi FY22, FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak RM1.4 bilion, RM900 juta dan RM600 juta.

 

"Kami turut menjangkakan Kelington akan merekodkan Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang kukuh bagi FY21 hingga FY24 dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 26%," katanya yang memberi nilai wajar pada RM1.82 sesaham terhadap Kelington. 

 

Setakat 11.53 tengah hari, harga sahamnya menokok 2 sen atau 1.52% kepada RM1.34 dengan 2.44 juta saham diniagakan. - DagangNews.com