Kenaikan harga API, pengguna mungkin terpaksa tanggung kos ubat yang tinggi - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga API, pengguna mungkin terpaksa tanggung kos ubat yang tinggi - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kenaikan mendadak harga bahan farmaseutikal aktif (API) di peringkat global sejak akhir Disember 2022 kemungkinan mendorong syarikat farmaseutikal melepaskan kos bahan mentah yang tinggi kepada pengguna bagi mengurangkan impak kepada pendapatan, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

 

Secara purata, API, iaitu bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan menyumbang 40% daripada kos ubat-ubatan.

 

Namun, dalam tempoh terdekat, Apex Healthcare dan Duopharma Biotech, akan mendapat manfaat daripada masalah kekurangan ubat yang berterusan dan kebangkitan semula kes selesema di Malaysia.

 

Sementara itu, pengukuhan ringgi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal November 2022 juga akan memberi kelebihan kepada Duopharma.

 

"Kami dapati pemain farmaseutikal di bawah liputan kami menunjukkan kuasa penetapan harga untuk menyalurkan kos yang lebih tinggi kepada pelanggan dengan meningkatkan harga jualan produk. 

 

"Ini disokong oleh trajektori margin untung kasar (GPM) mampan mereka sejak suku pertama 2021 hingga suku kedua 2022, walaupun harga API mencatatkan kenaikan berturut-turut antara 3 hingga 8% secara konsisten dalam tempoh yang sama, menurut indeks harga API/KSM IIFL Securities.

 

"Dalam hal ini, Malaysia khususnya, tidak melaksanakan sebarang mekanisme kawalan harga ubat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kelonggaran dasar sifar COVID-19 di China sejak awal Disember lalu telah melonjakkan kes jangkitan akibat wabak itu. 

 

Akibatnya, permintaan meningkat secara mendadak untuk ubat berkaitan selesema, yang digunakan untuk merawat gejala virus seperti demam dan batuk.

 

Dari segi bekalan, terdapat kawalan ketat ke atas pembelian ubat berkaitan selesema dalam tempoh tiga tahun lalu, termasuk keperluan pelanggan memberikan maklumat peribadi dan bukti jangkitan.

 

Disebabkan sekatan ini, farmasi di China mengurangkan tahap inventori, manakala syarikat farmaseutikal mengurangkan pengeluaran di tengah-tengah kebimbangan tamat tempoh bekalan.

 

Kawalan ini telah ditarik balik pada akhir November 2022. Namun begitu, akibat daripada sekatan sebelum itu, China mengalami kekurangan ubat yang teruk, yang membawa kepada sekatan eksport kerajaan China ke atas API. 

 

Ini menyebabkan kenaikan harga antara 12 hingga 25% pada akhir Disember 2022 di India, berdasarkan BQ Prime. Secara dasarnya, China menyumbang 40% daripada bekalan API global, menurut Optima Insights.

 

AmInvestment berkata, beberapa kerajaan di peringkat serantau telah mengembalikan catuan ubat-ubatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memerangi masalah kekurangan tersebut.

 

Di samping itu, katanya, kerajaan China telah mendorong syarikat farmaseutikal utama untuk mengeluarkan ubat-ubatan pada kapasiti maksimum. 

 

"Beberapa laporan media telah menyebabkan kami percaya bahawa kekurangan ini boleh berkurangan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas Tahun Baru Cina. 

 

"Bagaimanapun, kami melihat beberapa risiko penurunan pada garis masa memandangkan kemasukan semula ratusan juta pekerja asing untuk perayaan Tahun Baru Cina boleh menyebarkan wabak itu ke seluruh negara," jelasnya.

 

Menurutnya, masalah kekurangan ubat yang konsisten memberi peluang yang baik kepada Duopharma dan Apex, dengan mengambil kira kelebihan mereka di farmasi, klinik dan hospital swasta di sebalik potensi kenaikan harga API.

 

"Apatah lagi, kemasukan semula pelancong China boleh meningkatkan permintaan untuk ubat berkaitan selesema memandangkan kekurangan teruk di negara mereka sendiri," tambahnya.

 

Secara keseluruhan firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan di sebalik kenaikan harga API. - DagangNews.com