Kenanga Research semak naik penarafan sektor pengguna kepada 'overweight' disokong peningkatan permintaan segmen runcit | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik penarafan sektor pengguna kepada 'overweight' disokong peningkatan permintaan segmen runcit

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Kenanga Research menyemak naik saranan sektor pengguna kepada 'overweight' berdasarkan kepada peningkatan permintaan dalam segmen runcit.

 

Firma itu berkata, ia juga disokong oleh kehadiran semula orang ramai untuk membeli-belah secara individu selain kumpulan M40 menunjukkan trend perbelanjaan yang sihat kerana tidak begitu terkesan dengan inflasi.

 

Pada masa sama, peruncit dapat menyalurkan kos yang lebih tinggi dan mengekalkan margin keuntungan mereka.

 

"Sementara segmen makanan dan minuman (F&B) berkemungkinan dapat mengekalkan jualan mereka namun terpaksa mengorbankan margin keuntungan.

 

"Segmen F&B masih ada sedikit ruang untuk meningkatkan harga jualan dengan kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada golonga B40 yang terkesan teruk akibat kenaikan inflasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu percaya kumpulan M40 akan terus mengekalkan perbelanjaan yang disokong oleh kunci kira-kira isi rumah yang sihat, tetapi kumpulan B40 akan terus berdepan cabaran dengan situasi semasa.

 

Katanya, peruncit dapat mempertahankan margin mereka dengan gabungan produk yang lebih baik dan kecekapan operasi ditambah pula dengan ketiadaan gangguan bekalan utama terutamanya dari China.

 

"Bagaimanapun, sektor F&B berdepan pelbagai cabaran untuk mengimbangi kenaikan kos input yang lebih tinggi kerana sebarang kesilapan akan membuatkan mereka kehilangan bahagian pasaran kerana pelanggan beralih kepada alternatif yang lebih murah," katanya.

 

Firma itu berkata, ketegangan geopolitik yang berterusan akan menyebabkan peningkatan inflasi apabila harga tenaga melonjak selain bekalan tidak menentu di pasaran. - DagangNews.com