Kerajaan Anwar kukuh apabila ekonomi stabil, kata Sin Chew & Nanyang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 3 December 2022

KERAJAAN ANWAR KUKUH APABILA EKONOMI STABIL

Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 1-2 Dis 202

 

 

 

DENGAN berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 dan Perdana Menteri baharu juga telah dilantik, secara logik negara sepatutnya kembali tenang agar kerajaan baharu yang terpilih dapat memimpin negara dalam keadaan stabil. 

 

Namun pergelutan politik masih berlarutan dan tidak reda meskipun kerajaan perpaduan telah terbentuk. Pelbagai tohmahan dan provokasi berterusan dan mencetuskan lagi gelombang kemelut politik.

 

Suka atau tidak, sudah tiba masanya untuk mengetepikan persengketaan agar negara dapat bergerak maju ke hadapan.

 

Kerajaan baharu kini sepatutnya menumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah ekonomi dan mengurangkan beban hidup rakyat. 

 

Dengan prospek ekonomi global yang suram pada tahun hadapan, negara kita akan menghadapi cabaran yang berat dan tidak boleh lagi leka menghabiskan banyak masa bergelumang dengan kemelut politik.

 

Reformasi ekonomi

Pengarah Eksekutif Socio Economic Research Centre (SERC) ACCCIM (Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia), Lee Heng Guie berpendapat bahawa pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik berjalan seiring.

 

Dengan pembentukan kerajaan perpaduan, semua rakyat dan parti politik perlu bekerjasama untuk melaksanakan pengurusan ekonomi yang baik dan membina semula Malaysia yang lebih baik.

 

 

PMO

 

 

Pembaharuan yang sukar perlu dilakukan untuk menangani masalah struktur dan kelemahan yang masih melanda ekonomi Malaysia.

 

Ini termasuklah ruang fiskal yang semakin sempit, perangkap pendapatan sederhana, pertumbuhan produktiviti yang perlahan, kekurangan tenaga kerja mahir, penggunaan dan pendigitalan teknologi yang perlahan terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kadar pelaburan swasta yang tidak sekata terutamanya pelaburan langsung domestik (DDI).

 

Reformasi ekonomi yang paling penting ialah membaiki kewangan kerajaan dan membawa hutang dan liabiliti ke tahap yang boleh diurus.

 

Kerajaan perlu menyegerakan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal.

 

Badan khas adalah perlu untuk mengawal selia proses perolehan kerajaan untuk meningkatkan akauntabiliti.

 

Selain itu, kerajaan juga perlu menangani masalah jurang pendapatan yang luas.

 

Begitu juga program seperti dasar pembasmian kemiskinan mesti diteruskan tanpa mengira kaum tetapi perlu dilaksanakan mengikut pendapatan, keperluan dan kawasan.

 

Pada masa sama kita juga perlu mengelakkan pergantungan berlebihan pada bantuan kerajaan, bagi mengelakkan kehabisan sumber kewangan yang terhad.

 

Kabinet cekap dan efektif

Dalam pilihan raya umum ini, benar kata pepatah ‘tiada kawan atau musuh yang kekal dalam politik’.

 

Senarai kabinet kerajaan perpaduan yang diumumkan semalam masih hangat dibahas orang ramai. Suka atau tidak, semua orang harus bersiap sedia dari segi mental untuk menerima mereka yang mereka tidak jangka ada dalam Kabinet.

 

PKS menaruh harapan yang tinggi kepada barisan kerajaan baharu Anwar Ibrahim. Beberapa organisasi tidak sabar untuk membangkitkan isu-isu yang telah mereka hadapi kepada kabinet baru ini.

 

 

parafrasa
Anwar mengumumkan barisan Kabinetnya pada pukul 8.15 malam 2 Disember 2022.

 

 

Jika barisan kabinet adalah gabungan pasukan cekap dan efektif, pastinya rakyat gembira melihat Malaysia yang baru. 

 

Begitu juga Presiden ACCCIM, Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan mengharapkan menteri kabinet yang dilantik adalah dari kalangan mereka yang cekap dan berkebolehan.

 

PM mesti memilih ahli Parlimen yang mempunyai kepakaran akademik untuk menerajui jabatan, agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang akan membantu meningkatkan kecekapan kerja dan sistem penyampaian jabatan dan agensi kerajaan.

 

Kerajaan baharu tidak perlu membuang masa dan sumber untuk mencungkil kesilapan kerajaan terdahulu, sebaliknya perlu fokus kepada kerja, mewujudkan persekitaran mesra perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negara.

 

Begitu juga kerajaan perpaduan mesti meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan dari segi kewangan. Mencari sumber kewangan baharu termasuklah mengembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

 

Selain itu, syarikat yang berkemampuan juga diberi peluang untuk membida projek kerajaan bagi menjimatkan perbelanjaan yang tidak perlu untuk negara.

 

Beliau juga berpendapat kerajaan perlu berusaha untuk mengurangkan lantikan politik dan tidak sewenang-wenangnya melantik pemimpin parti ke jawatan penting dalam agensi kerajaan atau GLC.

 

Hanya mereka yang benar-benar mempunyai kepakaran diberikan tugas berkaitan, agar organisasi yang dipimpin akan lebih cekap dan berkesan.

 

Kerjasama kerajaan dan sektor swasta

Negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang tidak dapat diselesaikan dalam jangka pendek.

 

Hanya kerjasama antara kerajaan dan swasta dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

 

Lima tahun akan datang adalah sangat kritikal. Selain mewujudkan persekitaran mesra perniagaan, kerajaan harus mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan pengeluaran dokumen dan kelulusan.

 

Kini semua mata tertumpu kepada pembentukan barisan kabinet baru pimpinan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Ini kerana keutamaan yang penting adalah memperbetulkan ekonomi dan kewangan negara serta meluluskan terlebih dahulu Belanjawan 2023.

 

Proses ini nanti akan memperlihatkan sama ada kerajaan perpaduan hasil daripada gabungan pelbagai parti, boleh berkomunikasi dan bekerjasama dengan lancar.

 

Ekonomi stabil kerajaan kukuh

Dengan kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan, bajet Anwar tidak dapat mengelak untuk menyediakan bantuan langsung dan disasarkan untuk golongan yang kurang bernasib baik.

 

Begitu juga menyediakan rasionalisasi subsidi juga memang tidak dapat dielakkan.

 

Di samping itu, perlu ada pengimbangan semula kepentingan ekonomi antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur agar boleh membangun dengan lebih pantas barulah dapat meraih kepercayaan rakan politik Malaysia Timur.

 

Jangan sesekali mengulangi perbuatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 terhadap kerajaan Sarawak dulu.

 

 

parafrasa

 

 

Jika Anwar dapat mengawal inflasi dalam jangka pendek dan memastikan pendapatan rakyat stabil, barulah kerajaan perpaduan boleh bernafas lega.

 

Apabila ekonomi dalam keadaan baik, kerajaan perpaduan mempunyai legitimasi yang mencukupi untuk membuktikan mereka benar-benar mewakili keseluruhan rakyat, barulah kerajaan ini dapat bertahan lama!   - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 1-2 Disember 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags