Kerajaan bakal umum diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bakal umum diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN - PM

SHAH ALAM 4 Okt - Kerajaan bakal mengumumkan berita baik membabitkan pemberian diskaun untuk bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dalam masa terdekat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bermatlamat meringankan beban golongan belia, khususnya pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

 

"Kita akan mengumumkan diskaun kepada peminjam PTPTN dari segi bayaran balik, untuk kategori tertentu," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Awam Bersama Perdana Menteri bersempena Program Idea Bina Negara bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam, Rasydan Mohd Hassan, mengenai langkah kerajaan bagi menyelesaikan isu kos sara hidup yang membelenggu golongan anak muda kini.

 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan melaksanakan banyak inisiatif untuk menangani isu berkenaan, termasuk memberi pelbagai bantuan kepada golongan belia meliputi mahasiswa.

 

"Pelajar turut terkesan akibat kenaikan harga (barangan). Oleh itu, apabila pelajar mula memasuki kampus pada Oktober ini, program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan dilaksanakan di kampus seluruh negara. Bagi program PerantiSiswa pula, pelajar tidak perlu memulangkan (peranti), ia diberi terus kepada mereka.

 

 

pm

 

 

"Banyak lagi yang kita beri seperti e-Wallet dan program e-Pemula, malah juga untuk golongan muda bukan pelajar. Bagi pembeli rumah pertama yang sesetengahnya bekerja tetapi tiada slip gaji, kita perkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan yang mana jika tiada slip gaji pun boleh membuat pinjaman kerana ia akan dijamin oleh kerajaan," katanya sambil menjelaskan skim itu turut memanfaatkan golongan belia luar bandar yang bekerja sendiri.

 

Pada majlis sama, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad A'linur Ahlam Abu Bakar turut menyerahkan naskhah berjudul 'Idea Anak Muda kepada Perdana Menteri'.

 

Buku berkenaan mengandungi kompilasi idea anak muda yang dikumpulkan daripada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di seluruh negara.

 

 

pm

 

 

Idea Bina Negara adalah sebuah platform digital bagi membolehkan rakyat Malaysia, terutama mahasiswa dan golongan muda Keluarga Malaysia, mengemukakan idea serta pandangan kepada kerajaan bagi pembangunan masa depan negara.

 

Platform itu berjaya meraih 12,794 idea daripada 10,090 responden melalui laman sesawang: www.ideabinanegara.my dan media sosial rasmi Idea Bina Negara. - DagangNews.com