Kerajaan putuskan tidak wajar tarik semakan Batu Puteh - Peguam Negara | DagangNews Skip to main content

Kerajaan putuskan tidak wajar tarik semakan Batu Puteh - Peguam Negara

Pulau Batu Puteh
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kerajaan berpandangan tindakan untuk menarik balik semakan keputusan berhubung Batu Puteh adalah tidak teratur dan tidak wajar, kata Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun.

 

Idris berkata, keputusan itu adalah berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023.

 

Bagaimanapun katanya, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

 

"Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas tersebut, termasuk isu berkaitan dengan 'tort misfeasans' dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, Batu Puteh merupakan isu sangat penting kerana ia melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.

 

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus mempastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya. 

 

 

AG
                                      Tan Sri Idris Harun

 

 

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

 

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

 

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

 

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.

 

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor. - DagangNews.com