Kerjasama UPM, Farm Fresh tingkatkan minat mahasiswa terhadap industri tenusu | DagangNews Skip to main content

Kerjasama UPM, Farm Fresh tingkatkan minat mahasiswa terhadap industri tenusu

Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman (kiri) menyerahkan Memorandum Perjanjian kepada Azmi Zainal sambil disaksikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UPM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Farm Fresh Berhad menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi membangunkan Pusat Agro-Tourism dalam meningkatkan minat mahasiswa untuk menceburi industri tenusu serta menggalakkan generasi muda meminati bidang pertanian.

 

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, perjanjian itu meliputi bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, aktiviti keusahawanan pelajar serta latihan kemahiran berkaitan untuk kakitangan universiti itu.

 

"Kerjasama strategik ini memperkukuhkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melibatkan bidang penternakan tenusu dan proses berkaitan serta menyemarakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam bidang tumpuan universiti dan industri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis itu turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Tenusu UPM-Farm Fresh.

 

Inisiatif ini juga secara tidak langsung mendukung Matlamat ke-3 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Indusri dan Masyarakat.
 

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerjasama itu merupakan model kerjasama sektor awam khususnya universiti dengan pihak swasta yang membawa industri ke dalam kampus dan membantu pihak kementerian dalam penyelidikan pendidikan bersama. 

 

“Kementerian juga memberi penekanan kepada pihak universiti agar tidak mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata namun lihat juga peluang kerjasama dengan syarikat luar kerana banyak syarikat yang mahu melabur dan memberi kerjasama dengan universiti supaya kedua-dua pihak mendapat hasil menang-menang bersama.

 

"Pihak Farm Fresh juga menawarkan kerja sambilan kepada pelajar yang mana para pelajar bukan sahaja mendapat ilmu pengendalian haiwan ternakan malah menambah pendapatan mereka dan syarikat juga dapat menilai pelajar yang terbaik untuk menawarkan pekerjaan buat mereka," katanya.

 

Dalam pada itu,  Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, kerjasama industri dalam kampus membolehkan pelajar mengikuti latihan industri dan menimba pengalaman serta mempersiapkan diri untuk bersaing dalam dunia pekerjaan.

 

Dalam pada itu, seorang pelajar UPM yang kini berkhidmat di Farm Fresh Malaysia, Nadiah Nadhirah Roslan berkata, pelbagai pengalaman yang telah beliau praktikkan sebagai pelajar Bacelor Sains Haiwan di Fakulti Pertanian UPM termasuklah pengendalian haiwan serta pengurusan dan bidang pertanian. 

 

Rakannya, Muhammad Ammar Azni yang merupakan pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan UPM Kampus Bintulu (UPMKB) berkata, beliau telah mendapat latihan secara amali dari staf FFB untuk memahirkan beliau dalam pengendalian lembu. 

 

“Saya berterima kasih kepada pihak farm Fresh Malaysia dalam memberi tunjuk ajar kepada saya dan untuk saya kerjaya ini adalah menarik keranaya ianya mencabar serta memerlukan kemahiran dalam pengendalian haiwan ternakan,” katanya. - DagangNews.com