Kilang Top Glove terbakar, AmInvestment kekal saranan 'jual' dengan FV 60 sen | DagangNews Skip to main content

Kilang Top Glove terbakar, AmInvestment kekal saranan 'jual' dengan FV 60 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap Top Glove Corporation Berhad dengan harga wajar (FV) 60 sen sesaham selepas kilang kumpulan itu di Lukut, Negeri Sembilan terbakar.

 

Menurut laporan Oriental Daily, kejadian pukul 5 petang itu berpunca daripada Blok A sebelum merebak ke keseluruhan kilang menyebabkan kemusnahan hampir 60%, namun tiada pekerja mengalami sebarang kecederaan.

 

Kebakaran itu menyebabkan sejumlah besar peralatan dan sarung tangan getah telah musnah.

 

Firma itu berkata, keseluruhan kapasiti kilang Lukut ialah 3.2 bilion keping setahun (atau 3.2% daripada pengeluaran kumpulan sebanyak 100 bilion keping setahun), manakala kapasiti terjejas ialah 1.2 bilion keping setahun.

 

"Dengan kadar penggunaan kilang pada 2QFY23 kumpulan pada hanya 27%, kami menganggarkan bahawa kilang Lukut boleh menyumbang 10% daripada hasil kumpulan berdasarkan andaian penggunaan kilang secara optimum pada 85%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, dengan andaian semua penghantaran kilang Lukut pada April 2023 musnah secara keseluruhan, ia akan menjejaskan hasil kumpulan sehingga 1% pada FY23.

 

"Di bawah penggunaan kilang kumpulan rendah semasa, kami menjangkakan kumpulan itu akan memindahkan pengeluarannya ke kilang lain untuk penghantaran pada Mei 2023 dan seterusnya," katanya.

 

Bagaimanapun, kerugian yang dialami kumpulan itu masih dalam siasatan namun dari sudut positif, kilang tersebut memiliki insuran. - DagangNews.com